Empat negeri jadi pertempuran hangat PRU-14

ARIF ATAN Foto: WAN ZAHARI WAN SALLEH 
Empat negeri jadi pertempuran hangat PRU-14
Penulis buku ‘Parti Amanah Negara’, Ahmad Lutfi Othman menjangkakan empat negeri di Semenanjung Malaysia menjadi medan pertempuran hangat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Menurutnya, negeri-negeri terbabit iaitu Johor, Kedah, Perak dan Selangor menjadi fokus awal dalam analisisnya sebelum ini yang disiar menerusi akhbar Mingguan Amanah.

“Saya cuba menghasilkan beberapa artikel di akhbar Mingguan Amanah sebelum terhalang kerana keuzuran.

“Saya sempat memfokuskan pergolakan di negeri-negeri tertentu. Saya pilih Johor, Kedah dan Perak yang saya jangka medan pertempuran hangat untuk PRU-14 ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran dan Bicara Buku ‘Parti Amanah Negara: Cabaran, Halangan & Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti’ di Hotel De Palma, Ampang, Selangor semalam.

Walau bagaimanapun, bekas Ketua Pengarang Harakah itu berkata, analisis berkenaan perkembangan semasa politik di Selangor tidak dapat dilakukan lantaran kekangan keuzuran yang dialaminya.

“Untuk (negeri) keempat – Selangor tak sempat. Saya mohon maaf pada rakan-rakan di Selangor,” kata pengasas NGO media bebas, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) itu.

Buku yang menghimpunkan wawancara pimpinan dan tulisan pimpinan Pakatan Harapan (PH) serta intelektual dan aktivis itu dilancarkan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Bab terakhir buku tersebut di bahagian Bukan Penamat Bicara yang memuatkan artikel bertajuk ‘Sikap Saya Terhadap Pas dan AMANAH’ pula ditulis oleh Ahmad Lutfi sendiri ketika sedang terbaring menempuh proses rawatan dialisis.

Majlis pelancaran tersebut ditaja sepenuhnya oleh Kelab Jaringan Rakyat (KEJAR) yang terdiri daripada bekas pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pertengahan tahun 1980-an serta didukung Media Oren.

Slot Diskusi Buku kemudiannya menampilkan Pensyarah Kanan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali; Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai ahli panel.
Hehadiran bekas Presiden pertama ABIM Prof Dr Ghazali Nawawi yang berjubah warna oren turut menarik perhatian kira-kira 100 hadirin dalam majlis tersebut.

Pengisian sesi tersebut yang juga bersiaran menerusi Facebook Parti Amanah Negara dimoderatorkan Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan.
Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu berucap di majlis pelancaran buku Ahmad Lutfi Othman di Hotel De Palma, Ampang semalam.

Walaupun sidang Dewan Rakyat sedang berlangsung, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH dan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin merangkap Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) hadir memberi sokongan.

Sementara itu, kehadiran bekas Presiden pertama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bagi 1971 – 1974, Prof Dr Ghazali Nawawi yang berjubah warna oren turut menarik perhatian kira-kira 100 hadirin dalam majlis tersebut.

Turut hadir Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Izham Hashim; penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar; budayawan Raja Ahmad Aminullah dan bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UTM 1985/86, Zuki Mat Zin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan