Nik Omar akhirnya muncul di DUN Chempaka?

N Faizal Ghazali
PRU14 | Selepas pelbagai spekulasi mengenainya diperkatakan, rancangan Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan untuk mengangkat Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai calon mereka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dikatakan semakin menjadi realiti.
Menurut sumber, anak kedua bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu akan muncul di Pusat Penamaan Calon Parlimen Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, pagi ini.

"Insya-Allah beliau akan bertanding mewakili HARAPAN di DUN Chempaka.

"Segala persiapan dari segi pengurusan pencalonan sudah disediakan, kita tunggu penamaan calon secara rasmi esok (hari ini), " kata sumber dalam HARAPAN kepada Malaysiakini, lewat malam tadi.

Terdahulu pada majlis pengisytiharan calon HARAPAN Kelantan yang 'kelam-kabut' malam semalam, gabungan parti pembangkang itu mengumumkan seorang yang bernama Mohammad Omar sebagai calon mereka bagi kerusi Chempaka.

Bagaimanapun, individu pemilik nama berkenaan tidak muncul di pentas utama untuk diperkenalkan kepada orang ramai yang hadir di Bilik Operasi DUN Kadok berkenaan.

Jika Nik Omar benar-benar muncul di pusat penamaan calon pagi ini ia adalah kemunculan 'berani' beliau bersama AMANAH selepas sebelum ini dilihat berhalangan untuk ke depan menghadapi PAS kerana beberapa faktor.

Antaranya, salah seorang adik Nik Omar, Nik Mohamad Abduh, adalah orang kuat PAS dan tegar mempertahankan pendekatan diambil parti itu walaupun tidak disenangi sesetengah pihak.

Nik Mohamad Abduh bertanding - dan menang - di kerusi Pasir Mas pada PRU ke-13 lalu dan kali ini dipilih menjadi calon PAS bagi kerusi parlimen Bachok.

Secara bandingan Bachok lebih mencabar buat PAS berbanding Pasir Mas berdasarkan jumlah majoriti undi yang dimenangi calon parti terbabit pada 2013 lalu.

Pada PRU ke-13 itu, calon PAS Ahmad Marzuk Shaary memperoleh 35,419 undi berbanding Datuk Dr Awang Adek Hussin 35,218.

Perbezaan undi rasmi yang memisahkan Ahmad Marzuk dengan Awang Adek cuma 201 undi.

Nik MohamadAbduh pula mengetepikan cabaran Datuk Ibrahim Ali di Pasir Mas dengan kelebihan 8,047 undi. Anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu memperoleh 33,431 undi manakala Ibrahim 25,384 undi.

Berdiam diri, enggan ulas

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, HARAPAN Kelantan diyakini akan menggugurkan calon mereka yang terpalit dengan siasatan kes cabul.


Namun, barisan pimpinan utama parti itu memilih untuk berdiam diri daripada bercakap mengenai perkara itu.

Timbalan Pengerusi HARAPAN Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

"Saya hanya akan respon selepas penamaan calon esok, awak boleh telefon saya selepas itu, " katanya.

Media semalam melaporkan polis Kelantan sedang menyiasat seorang calon HARAPAN Kelantan susulan didakwa menjadi suspek satu kes cabul seorang wanita, tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan