Amanah tanding 1 Parlimen, 11 DUN di Pahang
Khairil Ashraf
PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan Amanah akan bertanding 1 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN di Pahang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Perkara itu diumumkan di Jelajah Harapan Pahang di Temerloh malam tadi. Pahang mempunyai 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN.
Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir diumumkan akan bertanding di Parlimen Temerloh, yang sekarang ini disandang Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.
Bagi kawasan DUN, Pengerusi Pahang Hamzah Jaafar akan bertanding di DUN Dong bawah Parlimen Raub, manakala timbalan Syed Hamid Syed Mohamed pula akan bertanding di DUN Semantan bawah Parlimen Temerloh.
Naib Pengerusi Pahang 1 Jamaluddin Abd Rahim akan bertanding di DUN Pulau Tawar bawah Parlimen Jerantut; Naib Pengerusi Pahang 2 Ahmad Sazili Mohd Nor pula akan bertanding di DUN Tioman bawah Parlimen Rompin dan Naib Pengerusi Pahang 3 Zulkifli Mohamed akan bertanding di DUN Beserah bawah Indera Mahkota.
Ketua Pemuda Pahang Nur Addin Ibrahim dicalonkan di DUN Lepar bawah Parlimen Paya Besar; Setiausaha Wanita Pahang Sabrina Md Yusoff akan bertanding di DUN Tanjung Lumpur bawah Parlimen Kuantan manakala Exco Pemuda Pahang Ahmad Majdi Fauzi Abd Aziz akan bertanding di DUN Guai bawah Parlimen Bera.
Bagi DUN Pelangai bawah Parlimen Bentong, Amanah meletakkan AJK Pahang Norhaizan Abu Hasan manakala bagi DUN Jengka dan DUN Kerdau bawah Parlimen Kuala Krau, Amanah meletakkan Pengerusi Biro Kebajikan Pahang Jelani Ludin dan Timbalan Pengerusi Kuala Krau Adnan Abdul Manaf.
Pada PRU13 lalu, Nasaruddin menewaskan pencabarnya, Datuk Saifuddin Abdullah dari BN, dengan majoriti tipis 1,070 undi. Saifuddin kini bersama PKR dan memegang jawatan ketua sekretariat Pakatan Harapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan