Jelas Raja Perlis murka dengan 9 adun, kata MB baru

Melissa Darlyne Chow
Azlan Man menandatangani watikah pelantikan menteri besar Perlis di Istana Arau, hari ini. (Gambar Bernama)
ARAU: Kemurkaan Raja Perlis terhadap ketidakhadiran 9 adun Barisan Nasional (BN) dalam upacara angkat sumpah jawatan menteri besar hari ini adalah “terang dan jelas”, kata Datuk Seri Azlan Man.

Azlan yang mengangkat sumpah sebagai menteri besar penggal ke-2 di depan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau berkata, tiada keperluan untuk beliau mengulas lanjut.

“Pendirian saya, titah Tuanku jelas, tak perlu tambah lagi,” katanya pada sidang media selepas upacara angkat sumpah jawatan.

Raja Perlis dalam ucapan spontannya hari ini menjelaskan alasan beliau melantik Azlan sebagai menteri besar berbanding Adun Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang juga adik Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sementara itu, Adun Sanglang dari PAS, Mohd Shukri Ramli menyambut baik ucapan Raja Perlis dengan berkata, beliau sedih mendengar apa yang disuarakan Tuanku Syed Sirajuddin.

“PAS juga kecewa. Kami sepatutnya memfokuskan kebajikan rakyat, tetapi sebaliknya berlaku.

“Sepatutnya, kita buang sentimen parti dan berebut jawatan. Kita harus berkhidmat kepada rakyat.

“Kita perlu memberi perhatian terhadap apa yang dikatakan Tuanku,” kata pesuruhjaya PAS Perlis itu.

Adun Sena, Asrul Nizan Abdul Jalil yang bercakap bagi pihak wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang menghadiri upacara angkat sumpah itu, mengucapkan tahniah kepada Azlan atas pelantikannya sebagai menteri besar.

“Harapan kami seperti yang Tuanku kata, untuk bekerjasama membangunkan negeri ini dan mengurangkan politik.

“PH akan bekerjasama memastikan pembangunan Perlis dan kesejahteraan rakyat dijaga.”

Katanya, berbanding 9 adun BN yang memboikot upacara angkat sumpah itu, wakil rakyat PH lebih baik dan matang dari segi politik dengan hadir ke istana.

“Kami memandang serius apa yang Tuanku katakan.

“Sepatutnya, kami tiada kaitan dengan pelantikan MB ini kerana BN yang mempunyai majoritinya, bukan kami.

“Tindakan 9 (adun BN) itu menyebabkan Raja Perlis lebih terkilan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan