Seorang pengarang veteran menganggap ada tiga orang Umno yang sangat malang apabila parti itu tumbang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 baru-baru ini.
Menurut Subky Latif pemimpin terbabit - yang digelarnya tiga Abdul Umno - tersilap langkah dalam percaturan politik dalam parti yang mereka anggap keramat.
Paling menarik, kata Subky, ialah Muhammad yang melepaskan jawatannya sebagai menteri besar Selangor selepas ditahan pihak berkuasa Australia bersama wang tunai "berkilo-kilo".
Namun selepas itu kata bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS berkenaan Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil Muhammad menjadi menteri dan ketua penerangan Umno.
"Apabila Abdullah digulingkan (Datuk Seri) Najib (Razak), Najib mengambil (alih) ketua Umno Selangor dan (Muhammad) hilang dalam politik. Dia tidak dicalonkan Najib di Selangor.
"Tiba-tiba dia jadi ahli PAS. Dia aktif dalam PRU ke-13 dan pilihan raya kecil Kajang membantu calon Dr Wan Azizah Wan Ismail," tulisnya di harakahdaily.
Menurut Subky pendirian Muhammad tidak sama dengan PAS yang memihak kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.
Ketika PAS dilanda krisis - yang dianggap Subky sebagai cubaan menggulingkan kepimpinan ulama PAS - Muhammad renggang dengan parti berkenaan dan dipercayai terlibat dalam pertemuan sebelum tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH).
Menteri banyak bercakap
Namun kata Subky, Muhammad tidak menyertai AMANAH sebaliknya menganggotai PKR tetapi tidak dapat dipastikan peranannya dalam parti berkenaan.
"Tetapi ketika Najib mulai tidak disenangi oleh akar umbi Umno, Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin mulai membentuk parti baru, Muhammad pula kembali ke pangkuan Umno.
"Tidak banyak yang didengar apa bantuannya untuk Umno. Dalam PRU14 tidak kedengaran.
"Dan Umno kalah, Pakatan Harapan (HARAPAN) menang besar, PKR sebagai komponennya beraya besar di Selangor.
"Muhammad mewarisi Umno/BN yang hilang kuasa. Mulai ada Umno (kemudian) meninggalkan Umno, menjadikan dia betul-betul Abdul," kata Subky
Mengenai "Abdul" kedua, Subky menjelaskan bagaimana Salleh dipilih Najib menjadi menteri selepas dilihat sebagai "orang Umno yang terbiar" dengan adanya seorang lagi pemimpin kanan dari Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Najib - ketika itu menjadi presiden Umno - kemudian mengambil Salleh menjadi menteri pusat dan bendahari agung parti berkenaan.
"Sebagai menteri, dia bercakap banyak juga.
"Dalam PRU ke-14 dia kalah, Umno Sabah kalah, Umno Malaysia kalah dan Najib tak jadi perdana menteri lagi.
"Berapa hari saja merasa jadi menteri? Itulah Abdul yang kedua," tulis Subky.
Berapa hari jadi menteri
Mengenai Asyraf Wajdi, Subky berkata bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu seorang cendekiawan dan agamawan berfikiran luas.
Namun katanya anak Kelantan yang pintar itu tidak berpolitik bersama majoriti rakyat Kelantan.
Sepanjang tempoh hampir 30 tahun PAS mentadbir Kelantan, kata Subky, Asyraf tidak menyertai parti berkenaan, sebaliknya "melawan" mereka.
Jika tidak, katanya, tentu Asyraf menjadi orang penting dalam PAS dan mempunyai masa depan yang cerah dalam politik walaupun dia ialah anak orang Umno.
Asyraf kemudian dicalonkan Umno untuk bertanding di kerusi parlimen Pasir Puteh.
"Dia orang yang tahu Islam tetapi memilih parti yang berlawan dengan PAS yang berjuang kerana Islam.
"Ketika Najib mulai tenat, Najib jadikan dia ahli Majlis Tertinggi Umno dan jadikan pula timbalan menteri.
"Jadilah dicalon BN. Kalah. Umno kalah di Kelantan dan kalah di Putrajaya.
"Berapa hari saja jadi menteri? Jika Umno tak pulih, macam mana?" katanya.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan