Najmuddin Yusoff
Kira-kira tiga minggu lalu, satu video rakaman ceramah seorang ustaz muda dari PAS menjadi calon di Permatang Pauh, Pulau Pinang menjadi tular.
Dalam ceramahnya itu, ustaz berkenaan mendakwa bahawa menyimpan kitab Sahih Bukhari di rumah boleh mengelakkan kejadian curi.
Malah kata ustaz itu, langkah menyimpan nashkah berkenaan di dalam kereta turut boleh menjadi asbab menghindar musibah ke atas kenderaan terbabit.
Jelas sangat saranannya bahawa ia adalah "simpan", bukan baca dan amal. Katanya, menyimpan - apa lagi menyebut - nama-nama ulama besar Islam boleh mengundang berkat.
Dan limpahan berkat itulah yang kita fahami dapat membantu seseorang mengelak daripada kejadian tidak diingini.
Itu bukanlah kes terpencil membabitkan ustaz muda dari sebuah parti yang gigih berceramah tentang soal berkat dan keramat.
Beberapa hari sebelum itu telah tular lebih awal hikayat seorang pemimpin pemuda PAS Kelantan meremehkan kepentingan pengundi luar pulang mengundi di Kelantan.
Apa yang perlu dirisaukan - baginya - kerana malaikat bersama parti itu dan akan 'keluar' mengundi menggunakan kad pengenalan si Mat, walaupun Mat tidak pulang mengundi.
Tahap jadi barah
Tidak pasti pula apa yang malaikat akan lakukan jika sekelian Mat dan Mek itu pulang mengundi beramai-ramai pada 9 Mei ini.
Selain mereka bukan pulang untuk mengundi PAS, bagaimana malaikat itu - mengikut logika pemimpin pemuda terbabit - akan dapat menggunakan kad pengenalan Mat atau Mek terbabit?
Mungkinkah akan berlaku pergaduhan di pintu masuk pusat mengundi antara Mat manusia dan Mat si malaikat gara-gara mereka memiliki kad pengenalan yang sama?
Saya buntu memikirkan keyakinan dan pemikiran sebegini menjadi pegangan ramai agawaman muda, khususnya mereka yang bersama PAS.
Tidak dapat dipastikan sama ada ia sudah sampai ke tahap menjadi barah, atau sedang menuju ke arah itu apabila ia dilihat turut berjangkit kepada ramai orang, termasuk yang mempunyai PhD.
Saya ada juga bertanya kepada seorang ustaz - juga muda, menganggotai PAS tetapi lebih cenderung berbicara tentang Liverpool serta Mohamad Salah di Facebooknya.
Saya bertanya: Ustaz-ustaz yang banyak bersembang hal-hal berkaitan malaikat mengundi dan kitab Sahih Bukhari menghalau pencuri ini, yakin sungguhkah mereka dengan apa yang mereka cakap?
Sampai ke hari ini ustaz itu tidak menjawab soalan saya walaupun saya sendiri pun tidaklah mengharapkan dia akan memberi jawapan.
Soalan itu sebenarnya lebih kepada bertanya diri sendiri.
Mungkin 'Ustaz Salah' itu tidak menjawab kerana akhir-akhir ini saya lihat dia menjadi peminat kepada mainan peribahasa.
Lepas selawat, umpat keji
Tapi ustaz muda yang seorang ini adalah kes terpencil di dalam PAS. Justeru saya masih gagal mencari alasan mengapa dia masih kekal dalam parti itu.
Kembali kepada soalan saya untuk ustaz itu tadi. Hari ini saya yakin, ustaz-ustaz PAS yang gemar bersembang hal-hal karut atau tahyul-tahyulan itu ialah kalangan yang memang suka berborak ikut sedap hati dalam ceramah, kuliah mahu pun khutbah.
Dan oleh kerana ustaz terbabit tidak pernah disanggah oleh pengikut masing-masing, hari demi hari berlaku membawa mereka sendiri menjadi sangat percaya labun yang diceritakan itu.
(Sebenarnya ada yang menyanggah, cuma sesetengah orang belajar daripada pengalaman. Selepas dilabel munafik atau kafir, mereka jadi mendiamkan diri.)
Kenapa saya kata mereka ini memang suka bersembang? Anda boleh buat carian di YouTube dengan menaip nama pemimpin tertentu.
Perkataan seperi bodoh, tolol dan gila, misalnya, mengalir deras dari bibir masing-masing sungguhpun mereka digelar ustaz atau ulama.
Sesekali keji umpatan itu seakan-akan ritual yang mesti dilafazkan selepas membaca doa meminta fasih bertutur serta selawat ke atas Rasulullah SAW.
Kemudian ada pula pemimpin kanan PAS menggunakan hujah mimpi sebagai alasan untuk mengajar orang ramai menolak Nik Omar Nik Abdul Aziz yang bertanding dalam PRU ke-14 ini.
Nik Omar ialah anak bekas mursyidul am PAS serta pernah menjadi menteri besar Kelantan. Dia menawarkan diri kepada pengundi Chempaka, iaitu kerusi dewan undangan negeri yang pernah diwakili arwah bapanya.
Melalui hikayat dikisahkan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah itu ternampak seolah-olah mimpi boleh menjadi sumber dalil baru untuk parti PAS.
Nak berhujah dengan ayat-ayat al-Quran, ramai juga ulama yang tidak bersama PAS mampu melakukannya.
Mimpimu bukan mimpiku
Nak berhujah memetik sunah dan hadis, ada pula cabaran pakar seperti Dr Rozaimi Ramle. Malah cabaran yang dibuatnya kepada beberapa pemimpin PAS sampai ke hari ini masih belum bersambut.
Justeru mungkin elok juga dicuba hujah dengan anekdot mimpi. Tidak ramai yang mampu dan nekad berpolemik dengan bersandarkan kepada mimpi. Sekurang-kurangnya setakat inilah.
Kalau ada yang berani berhujah dengan menggunakan mimpi pun, mungkin Raja Bomoh sahaja. Sedangkan PAS khabarnya ramai pakar mimpi. Bukan Mohd Amar seorang saja. Jangan lupa kepada seorang lagi pemimpin ulama parti itu yang pernah mengaku bermimpi bertemu Rasulullah.
Dan kalau ulama seperti itu pun dapat bermimpi bertemu nabi, apa sangatlah halangan untuk presiden PAS yang juga Pengerusi Gagasan Sejahtera, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Baca 'Ana kurang faham, nak mati syahid demi Najib pula'
Barangkali banyak lagi khazanah mimpi beliau yang belum diceritakan kepada umum.
Terlanjur menyebut Gagasan Sejahtera tadi, itu pun sebenarnya mimpi juga rasanya. Bermula daripada mimpi untuk menjadi kerajaan menanti, beralih kepada mimpi menjadi 'kingmaker'.
Pada PRU ke-14 yang akan berlangsung pada 9 Mei ini, masih ada pemimpin sebegitu yang bertanding.
Secara umum, ia adalah cerminan masa depan parti yang sangat yakin mampu membentuk kerajaan tidak lama lagi.
Cuma, kita wajar berdoa semoga pemimpi tegar yang ada mampu membuka hati masing-masing pada 10 Mei nanti.
NAJMUDDIN YUSOFF seorang pengurus projek telekomunikasi yang gemar memerhati keletah politik negara, serta penggiat sastera dan kini bercadang untuk menjadi penterjemah mimpi separuh masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan