PRU14 | Malam ini Nik Omar Nik Abdul Aziz sekali lagi menunjukkan bagaimana gaya politiknya dalam dunia yang baru saja dijejaki itu.
Anak kedua bekas mursyidul am PAS itu membuat kejutan dengan membatalkan ceramahnya yang sepatutnya berlangsung di Bachok - kawasan Parlimen yang ditandingi adiknya Nik Abduh.
"Nik Omar tak berceramah di Bachok malam ini. Ia bagi menghormati tempat adiknya bertanding di Parlimen itu," kata pegawai pengiringnya Mejar (B) Zaidi Ab Halim kepada Malaysiakini.
Namun katanya lagi, Nik Omar tetap hadir ke program itu bagi menghormati undangan kepadanya.
"Kami hadir tetapi beliau tidak akan sampaikan ceramah, beliau akan ke satu lagi program ceramah di DUN Limbongan, Pasir Puteh," katanya.
Terdahulu, laman Facebook rasmi Nik Omar turut memohon maaf atas pembatalan itu dengan menyatakan "sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan" sebagai puncanya.
Selepas pelbagai spekulasi berhubung pendirian politiknya, beliau memberi jawapannya pada hari penamaan calon Sabtu lalu dengan menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi DUN Chempaka.
Tidakan itu menyebabkan beliau dihujani kecaman dan tuduhan tetapi pada masa sama turut menjadikannya antara topik utama kempen PRU ke-14 setakat ini.
Esok beliau akan membuat kemunculan sulung di luar Kelantan apabila dijadual menyertai beberapa program di ibu kota dan sekitarnya, termasuk majlis ceramah bersama Tun Dr Mahathir di Putrajaya.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan