Dr Asri cadang dialog terbuka dengan Siti Kasim

ARIF ATAN
Berhasrat untuk merungkai kebimbangan umum, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bercadang untuk mengadakan dialog terbuka dengan peguam dan aktivis Siti Kasim.

Beliau dalam satu kenyataan di Facebook hari ini memberitahu pertemuan yang dirancang dengan pemilik nama sebenar Siti Zabedah Kasim itu atas asas pendekatan yang matang dan ilmiah.

“Ramai yang gelisah dengan cara dan apa yang dilakukan oleh seorang yang dikenali dalam media sebagai Cik Siti Kassim.

“Pihak saya dengan kerjasama One Centre Malaysia, Perlis dan Badan Peguam Perlis sedang mengatur satu dialog terbuka berkaitan Islam di Malaysia antara Ustaz Salman Ali dan Cik Siti Kassim,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Dr Asri, tarikh dan tempat akan dimaklumkan kemudian tetapi beliau berharap orang ramai mendoakan agar dialog terbuka itu berjaya dilaksanakan.

Kenyataan Dr Asri itu kemudiannya rata-rata disambut baik oleh orang ramai bahkan memberikan pelbagai cadangan agar dialog terbuka tersebut mencapai matlamat.

Antaranya, Hanafi Masri menyarankan agar pertemuan itu boleh ditonton secara langsung tetapi tanpa khalayak audiens di lokasi dialog berlangsung.

“Penonton yang ramai dan macam-macam yang ada dalam dewan kadang-kadang menyebabkan suasana jadi tegang atau nampak berat sebelah,” katanya dalam ruangan komentar di Facebook Dr Asri.

------------

DrMAZA.com
Ramai yang gelisah dengan cara dan apa yang dilakukan oleh seorang yang dikenali dalam media sebagai Cik Siti Kassim. Sikap beliau membimbangkan banyak pihak. Atas asas pendekatan yang matang dan ilmiah, pihak saya dengan kerjasama One Centre Malaysia, Perlis dan Badan Peguam Perlis sedang mengatur satu dialog terbuka berkaitan Islam di Malaysia antara Ustaz Salman Ali dan Cik Siti Kassim. Tarikh dan tempat akan dimaklumkan nanti. Tolong doakan agar dialog terbuka ini berjaya dilaksanakan nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan