Najib Razak tersilap

Wong Kah Woh
BEKAS perdana menteri Najib Razak terkhilaf. Penerimaan hadiah dalam kapasiti selaku seorang pimpinan utama negara bukan sahaja salah dari sisi undang-undang, tetapi juga satu penganiayaan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat.

Najib dalam temuramah dengan Malaysiakini menyatakan “selama bertahun-tahun sebagai ketua kerajaan, kami dihadiahkan dengan pelbagai barangan oleh pemimpin antarabangsa serta rakan-rakan peribadi”.

Biarlah kita mengingatkan Najib yang menurut Seksyen 3 Akta SPRM 2009, maksud “suapan” merangkumi “wang, derma, pinjaman, hadiah dan harta”.

Bagaimanakah Najib dan isteri beliau, Rosmah Mansor, mampu menerima dan mengumpul “hadiah” yang bernilai sekurang-kurangnya RM686 juta tersebut dan mungkin boleh mencecah nilai RM1.1 bilion seperti diumumkan oleh polis semalam, sekiranya bukan kerana posisinya selaku pimpinan utama negara untuk 36 tahun, dari seorang menteri besar dari 1982 sehingga berhenti menjawat jawatan perdana menteri pada 2018?

Sekiranya kita membahagikan nilai minima sebanyak RM686 juta tersebut dengan tahun perkhidmatan Najib, secara puratanya setiap tahun Najib Razak akan menerima “hadiah” bernilai RM19 juta atau bersamaan RM1.6 juta koleksi setiap bulan!

Najib cuba memperbodohkan rakyat dengan menyatakan beliau menyimpan barang-barang kemas yang bernilai sekurang-kurangnya RM686 juta tersebut untuk tujuan pameran peribadi suatu hari nanti.

Kenyataan sebegini langsung tidak masuk akal. Dengan segala percubaan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini yang diketuainya untuk menutup dan melumpuhkan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad, jelas sekiranya penukaran kerajaan tidak berlaku pada 9 Mei 2018 yang lepas, “pameran Najib” tersebut akan kekal sebagai “koleksi peribadi Rosmah Mansor” dan tidak akan didedahkan kepada rakyat Malaysia.

Pengakuan penerimaan “hadiah” oleh Najib ini sudah mencukupi untuk beliau dibawa ke ambang keadilan untuk dibicarakan. – 28 Jun, 2018.

* Wong Kah Woh adalah ahli Parlimen Ipoh Timur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan