Pecah masuk rumah tanpa pakaian

NORAFIZA JAAFAR

Suspek tanpa pakaian ditahan sekumpulan lelaki selepas suspek keluar dari rumah jiran dalam keadaan mencurigakan.
KUALA LUMPUR – Pengalaman pahit buat seorang warga Bangladesh selepas tindakannya yang mahu 'berjinak-jinak' dalam kegiatan pecah rumah, apabila dia dimalukan sekumpulan lelaki yang bertindak membogelkannya.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi Khamis lalu di Jalan Sungai Kampung Puah, Lembah Gombak di sini, suspek yang bekerja kontrak ke lokasi kejadian menaiki sebuah teksi dari bilik sewanya di Chow Kit.

Suspek yang hanya memakai seluar dalam telah memecah masuk sebuah rumah dan disedari jiran mangsa yang sedang berbual di luar rumah bersama adik dan dua rakannya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kelibat suspek tanpa pakaian dan membawa beg galas disedari kumpulan berkenaan.

"Suspek dalam keadaan mencurigakan itu ditahan kumpulan tersebut dan menemui barang curi termasuk beg tangan, dompet dan dokumen peribadi termasuk kad pengenalan serta MyKid.

"Mangsa yang bekerja sebagai pegawai bank dan tinggal di rumah teres bersama isteri serta seorang anak tidak menyedari rumahnya dipecah masuk sehingga dimaklumkan oleh jiran," katanya.

Katanya, tindakan suspek tidak mengenakan pakaian semasa kerja pecah rumah itu bagi mengelak bajunya tersangkut pada jaring tingkap.

"Didapati suspek memecah masuk rumah jiran melalui tingkap dapur yang besinya dibengkokkan dan cermin tingkap ditanggalkan.

"Pakaiannya ditanggalkan dan dimasukkan pada plastik. Namun selepas kegiatan pecah masuk dia tidak sempat menyarung kembali pakaiannya selepas dikejar jiran mangsa," katanya.

Katanya, kes disiasat 457 Kanun Keseksaan dan soal siasat masih dilakukan.

Baru-baru ini tular video pendek mendakwa orang minyak memecah sebuah rumah di Kampung Puah.

Bagaimanapun, tindakan suspek yang hanya berseluar dalam itu bagi memudahkannya menyelinap masuk ke rumah mangsa bagi mengelak pakaiannya tersangkut pada tingkap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan