Zeti didakwa tahu siapa penderma sebenar RM2.6bilion ke akaun Najib

MALAYSIA DATELINE
Pergerakan Pemantau Malaysia Baru mendedahkan terdapat maklumat yang tercatit dalam “kertas siasatan terhadap Najib Razak” jelas menunjukkan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz selaku Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) pada masa kertas siasatan tersebut disediakan telah terlibat secara langsung semasa transaksi membawa masuk wang derma dari Arab Saudi dilakukan.

Presidennya Datuk Lokman Noor Adam berkata, Zeti telahpun diberitahu oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak tentang “gift” berbentuk wang derma yang bakal diterimanya dari Putera Saudi bersandarkan kepada apa yang dimuat naik di blog The Third Force pada Isnin.

“Bukti yang dipaparkan di blog The Third Force jelas menunjukkan bahawa Zeti yang mencadangkan agar wang tersebut dimasukkan kedalam akaun peribadi Datuk Seri Najib.

“Berdasarkan perkembangan ini, sudah tentu Zeti selaku Gabenor Bank Negara ketika itu tahu identiti sebenar penderma,” ujarnya dalam kenyataannya semalam.

Lokman Noor mempersoalkan beberapa perkara berkaitan wang derma tersebut yang dilaporkan sejumlah RM2.6bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bekas perdana menteri itu.

” Mengapakah Zeti tidak membuat kenyataan kepada SPRM berkaitan identiti penderma tersebut?

” Mengapakah Zeti tidak membantu SPRM mendapatkan rekod transaksi dari AMBANK?

” Mengapakah Zeti hanya berdiam diri, seolah-olah beliau tidak tahu menahu perihal perkara tersebut?,” soalnya.

Justeru Lokman Nor berkata, Zeti harus menjelaskan bahawa transaksi tersebut tidak boleh disabitkan sebagai “money laundering” kerana ianya mengikuti prodesur kemasukan wang asing jika berpandukan kepada kertas siasatan tersebut.

“Sudah menjadi tanggungjawab beliau menjawab soalan-soalan ini memandangkan bukti-bukti yang dipaparkan oleh The Third Force kian tular di media sosial, whatsapp dan wechat,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum ada jawapan mengenai siapa ‘putera’ Arab Saudi yang dikatakan memberi derma sebanyak RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, wang tersebut didakwa sebagai wang sumbangan daripada putera Arab Saudi kepada bekas perdana menteri itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan