Menjelang pemilihan PKR Terus bergolak

Satu lagi peletakan jawatan kerana 'nepostisme, kronisme' dalam PKR

Pergolakan dalaman PKR Selangor berhubung lantikan ahli majlis hari ini menyaksikan seorang lagi pemimpin sayap Pemuda parti itu meletakkan jawatan.

Melalui kenyataan medianya, pemangku ketua Pemuda PKR cabang Sabak Bernam Abdul Mutalib Ahmad berkata dia meletakkan jawatan kerana partinya "menidakkan" sumbangan sayap Pemuda cabang yang dipimpinnya.

Ini kerana, jelasnya, tiada sayap Pemuda Sabak Bernam yang dilantik dalam kerajaan tempatan.

"Apakah benar anak muda tidak menyumbang? PKR cabang Sabak Bernam harus muhasabah dan rasional mengenai pelantikan (ahli majlis) ini. Anak mudalah antara penggerak parti ini (PKR) sedari awal penubuhannya pada 1998.

"Dan menguatkan lagi kenyataan ini apabila hanya anak muda yang terlibat mewakili parti keramat tersebut dalam jawatankuasa pilihan raya peringkat DUN dan parlimen Sabak Bernam.

"Di mana yang lain? Di mana anda semua yang dilantik saat anak muda memasang bendera, menguruskan pentadbiran pilihan raya, berjalan kaki melaksana kempen dan berbagai lagi," katanya.

Peletakan jawatan Abdul Mutalib itu menyusul sehari selepas peletakan jawatan Setiausaha Pemuda PKR Selangor Syed Badli Shah Syed Osman.

Selain Syed Badli, dua pemimpin peringkat cabang PKR bagi kawasan Sepang semalam turut tampil mengecam amalan "kronisme dan nepostisme" yang didakwa terjadi di dalam PKR Selangor dalam lantikan ahli majlis.

Mengulas lanjut, Abdul Mutalib mengulangi dakwaan serupa dan menyifatkan parti itu hanya mendahulukan "kaki ampu".

"Yang jelas parti ini hanya mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam setiap keputusan politik yang dibuat.

"Hanya yang berkepentingan dan kaki ampu saja didahulukan. Tidak lagi mengenengahkan konsep bakat dan pembangunan anak muda. Ampu dan keluarga sendiri lebih mustahak daripada matlamat perjuangan," katanya.

Abdul Mutalib menambah, tindakannya meletakkan jawatan adalah sebagai bersolidariti dengan rakan-rakannya yang lain bagi "menyedarkan" pucuk pimpinan tentang "kekotoran" yang terjadi di dalam parti.

Selain jawatan dalam PKR, Abdul Mutalib turut meletakkan jawatan sebagai pengerusi sekretariat Pemuda Pakatan Harapan bahagian Sabak Bernam yang dijawatnya sejak 2016.

Abdul Mutalib bagaimanapun menegaskan bahawa amalan itu hanya melibatkan segelintir pemimpin PKR dan tidak menggambarkan keseluruhan pucuk pimpinan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari semalam menafikan dakwaan Syed Badli dan menyifatkan pembahagian jawatan lantikan politik di negeri itu dibuat melalui sistem yang "adil dan demokratik" oleh jawatankuasa yang mengambil kira pandangan dan cadangan daripada semua pihak.

Amirudin menjadi menteri besar menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan pengerusi PKR Selangor.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respons pemimpin PKR Selangor berhubung perkara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan