MOHD ALI HASHIM
Ketegangan yang berlaku ketika kedua-dua kumpulan berada di perkarangan Komtar tengah hari semalam.
Himpunan aman melibatkan dua kumpulan yang menyokong dan menentang Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof P Ramasamy tengah hari semalam hampir menimbulkan kekecohan setelah kedua-dua kumpulan tersebut berarak ke tempat yang sama.
Ketegangan mulai berlaku apabila kedua-dua kumpulan tersebut bertembung di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menempatkan Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri.
Pertembungan yang diselang-seli dengan provokasi tersebut berlaku ketika sekumpulan NGO Islam cuba menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mendesak supaya beliau mengambil tindakan segera dan campur tangan isu membabitkan Ramasamy.
Tatkala itu satu lagi kumpulan NGO turut berada lebih awal berhimpun di situ bagi menyatakan sokongan mereka kepada Ramasamy.
Aktivis Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Mohd Yusuf Azmi yang turut berarak bersama-sama lebih 20 NGO Islam pula berkata, kepimpjnan negeri maupun negara ini tidak harus terlibat dengan mana-mana pertubuhan pengganas.
Kelihatan Ahli Parlimen Padang Serai, Karupaiya Mutusami turut berucap bersama kumpulan yang menyokong Ramasamy.
Malah katanya lagi, dakwaan penglibatan Ramasamy dengan Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah suatu perkara yang serius dan tidak harus dipandang ringan.
“Himpunan yang dianjurkan kali ini bukannya bertujuan untuk menimbulkan sebarang kekacauan atau penglibatan mana-mana parti politik.
“Tuntutan yang dibuat dengan penyertaan lebih 20 NGO Islam pada kali ini merupakan salah satu usaha bagi memastikan keamanan negara terpelihara dan kekal sepertimana yang dikecapi sejak lebih 60 tahun yang lalu.
“Seorang pemimpin sebagai Timbalan Ketua Menteri II jelas memperlihatkan penglibatan diri dengan LTTE sejak 2003 lagi amat dikesali,” jelas beliau lagi.
Mohd Yusuf (tiga dari kanan) semasa berarak menuju ke Komtar.
Menurut Yusuf lagi, dalam masyarakat majmuk yang hidup dengan aman dan harmoni kini, adalah tidak wajar sekiranya dibiarkan tercetusnya sentimen ataupun anasir tidak baik dalam masyarakat hanya kerana seorang individu sahaja.
Tambahnya lagi, apa yang dinyatakan adalah demi keselamatan negara dan dibimbangi insiden yang berlaku di Sri Lanka akan menular ke negara ini dan menimbulkan kekacauan.
Katanya, memorandum yang diserahkan menuntut kerajaan negeri Pulau Pinang supaya segera campur tangan dalam isu ini yang membabitkan Timbalan Ketua Menteri II.
Turut kelihatan berucap dan berada bersama dengan kumpulan yang menyokong Ramasamy adalah Ahli Parlimen Padang Serai, Karupaiya Mutusami yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Padang Serai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan