Najib hadapi tuduhan baru ubah wang haram - 7 kes setakat ini

Datuk Seri Najib Razak berhadapan tiga pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Akitivi Haram 2001 dengan empat pertuduhan terdahulu dipinda.

Bekas perdana menteri itu tiba di kompleks mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pagi ini memakai kot biru dan tali leher kelabu.

Dia dibawa terus ke Mahkamah Sesyen di hadapan hakim Azura Alwi, yang mana tuduhan baru dibacakan.

Ketika itu, jurubahasa mahkamah tersasul dalam menyebut beberapa angka kewangan dalam kertas pertuduhan dan Najib membetulkan angka berkenaan sebanyak dua kali.

Ini mengundang tawa kecil di galeri awam.

Najib didakwa dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram, berhubung tiga deposit ke akaun AmIslamic Banknya antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Jumlah deposit masing-masing adalah RM27 juta, RM5 juta dan RM 10 juta.

Bekas perdana menteri mohon bicara

Bekas perdana menteri itu didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Akitivi Haram 2001

Di bawah pertuduhan tersebut, Najib berhadapan hukuman penjara 15 tahun dan denda sebanyak lima kali ganda jumlah wang yang diubah, jika sabit kesalahan.

Walaupun pertuduhan baru itu tidak menyebut dari mana asal wang berkenaan, semalam sumber-sumber memaklumkan ia berkaitan dengan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib kemudiannya dibawa ke Mahkamah Tinggu pula yang mana pertuduhan tersebut dibacakan sekali lagi dan bekas perdana menteri itu memohon untuk dibicarakan.

Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah akan mendengar kes ini.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan