Terima kasih kerajaan PH, rakyat kini bebas

FMT
Muhammad Faiz Kamaruddin


Kini berlalunya 100 hari pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak pilihan raya umum 9 Mei yang lalu. Banyak perubahan struktur yang dilakukan sejak pengambilalihan pentadiran daripada rejim Barisan Nasional (BN).

Pastinya banyak mata-mata yang tertumpu kepada usaha PH dalam menunaikan 10 manifesto utamanya yang dijanjikan untuk dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

Walaupun ada janji yang tidak ditunaikan, namun tulisan ini tidak berniat untuk menyentuh perihal berkenaan perkembangan menunaikan janji tersebut.

Ada sisi lain yang perlu dilihat tentang mengapa pertukaran kerajaan ini perlu disambut dengan baik oleh semua rakyat Malaysia. Jika ia digelar sebagai bodek atau “corrective” sekalipun, ia merupakan realiti yang kita hirup selama lebih 100 hari ini.

Melihat kepada sudut kebebasan, PH menunaikannya dengan memberi ruang yang lebih bebas kepada rakyat dan juga media untuk mengkritik kerajaan.

Ruang-ruang ini digunakan sebagai maklumbalas bagi sebarang penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh kerajaan kini. Tanpa pertukaran kerajaan, dapatkah kita bayangkan apa akan jadi kepada kebebasan rakyat sekiranya tidak berlaku pertukaran kerajaan pada 9 Mei yang lalu?

Pemansuhan Akta Anti Berita Tidak Benar merupakan langkah kanan kerajaan PH dalam mengiktiraf hak kemanusiaan dan juga mendukung Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan rakyat bersuara dengan bebas.

Tidak lupa juga beberapa siri demonstrasi yang dilakukan terhadap kerajaan PH, namun tidak berlakunya keganasan mahupun tangkapan secara besar-besaran seperti apa yang dilakukan kerajaan BN.

Media juga lebih terbuka dalam mengkritik tindakan ahli politik, baik kepada BN atau PH, sebarang kontroversi tidak lagi disembunyikan daripada rakyat.

Tidak lupa juga dalam menilai kebebasan pelajar, kenyataan Menteri Pendidikan, Maszlee yang menganjurkan sudut pidato untuk dipergiatkan dan menyeru agar forum kritikal tidak lagi dihalang penganjurannya, memberi satu nafas baru untuk melahirkan pelajar yang lebih peduli dan cakna tentang hal ehwal semasa.

Kebebasan merupakan sesuatu yang patut diraikan, kerana kebebasan itu merupakan hak sebagai seorang manusia, waima mana-mana kerajaan sekalipun tidak patut menafikan kebebasan seorang manusia untuk berfikir dan bersuara.

Dari sudut ketelusan kerajaan, kerajaan PH mengotakan janji agar ketelusan kerajaan dibudayakan sebagai ingatan bahawa rakyat menjadi “majikan” kepada kerajaan dan pimpinannya.

Banyak usaha yang dilakukan dan sedar ataupun tidak, usaha membudayakan ketelusan di peringkat institusi kerajaan ini lambat laun memberi kesedaran politik kepada rakyat yang selama ini hilang harapan terhadap fungsi jabatan kerajaan.

Siaran yang ditayangkan di Parlimen dibuka siarannya untuk semua, tanpa ada lagi tapisan mahupun waktu penyiaran yang terhad.

Rakyat kini boleh melihat perdebatan dan perbincangan yang dilakukan di Parlimen, asalkan mempunyai akses yang tersendiri, berbeza dengan kerajaan BN.

Kadar keresponsifan pimpinan kerajaan juga dikatakan pada tahap yang baik dengan membuka ruangan komen untuk kritikan dan penambahbaikan, cuba semaksimum yang mungkin untuk berkomunikasi dengan rakyat dan mengambil pertimbangan terhadap isu yang diutarakan rakyat melalui media sosial.

Ini selaras dengan ungkapan yang boleh dipetik daripada Robert Dahl yang menyatakan kecekapan demokrasi untuk bergerak dalam sesebuah negara adalah bergantung kepada tahap keresponsifan kerajaan terhadap masalah rakyatnya.

Belum lagi dikira usaha PH membanteras “penyamun” yang bersarang di jabatan kerajaan selama ini. Sekiranya tidak berlaku pertukaran rejim, pasti rakyat masih lagi tidak tahu beberapa banyak kepercayaan dan amanah mereka dihancurkan oleh golongan penjenayah kolar putih ini.

Kerajaan PH perlu berusaha dengan lebih keras untuk memenuhi kehendak rakyat. Anggaplah tulisan ini sebagai satu tanda kesyukuran tumbangnya rejim BN sewaktu revolusi senyap pada 9 Mei yang lalu.

Pada 31 Ogos ini, kita menghirup udara segar dan baru, tanda bebas daripada kekotoran dan pembungkaman parti klepotokrasi tersebut. Terima kasih PH, kini rakyat Malaysia mempunyai harapan baharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan