FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pegawai di Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan satu afidavit mendakwa 2 cek bernilai RM9.5 juta dikeluarkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan Anwar Ibrahim terhadap pensabitan liwat pada 2015.
Siti Rahayu Mohd Mumazaini, 34, berkata cek itu didepositkan ke akaun bank CIMB milik Shafee pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.
“Maklumat ini diperolehi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah perintah bawah Seksyen 44(1) AMLA dikeluarkan untuk membekukan akaun Shafee di CIMB,” kata Siti Rahayu, merujuk kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.
Afidavit itu dikeluarkan Anwar hari ini, dilampirkan bersama salinan penyata bank akaun Shafee dan gambar fotokopi 2 cek daripada Najib.
“Saya gesa pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga institusi-institusi kita untuk mempertimbang langkah-langkah memperbetul keadaan agar rakyat Malaysia malah juga dunia yakin terhadap integriti sistem perundangan kita,” kata Anwar ketika mengeluarkan afidavit itu.
Anwar tahun lepas memfailkan tuntutan untuk menggugurkan pensabitan liwat, mengatakan dia tidak diberi perbicaraan yang adil, dan mengatakan ada bayaran sehingga RM9.5 juta yang didakwa daripada Najib.
Mahkaah Tinggi pada November tahun lepas membatalkan tuntutan itu, mengatakan Anwar tidak menunjukkan bukti yang menyokong dakwaannya.
Anwar berkata afidavit oleh Siti Rahayu ini membuktikan dakwaannya tentang pembayaran kepada Shafee itu.
“Saya percaya dalam Malaysia Baharu ini kita tidak boleh berkompromi dalam komitmen kita terhadap kedaulatan undang-undang dan mengembalikan kredibiliti institusi kehakiman serta para peguam. Salah guna kuasa seperti ini tidak patut dibenarkan berterusan, dan mesti ada pertanggungjawapan,” katanya.
Anwar diberi pengampunan diraja sebelu dibebebaskan dari penjara selepas kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya Mei lalu.
Shafee sebelum ini menepis dakwaan tentang beliau menerima RM9.5 juta daripada Najib sebagai “mengarut”.
“Saya tidak pernah dibayar RM9.5 juta untuk mendakwa kes Anwar,” katanya.
Anwar dalam tuntutannya tahun lepas berhujah keputusan terdahulu oleh Mahkamah Rayuan pada 2014, yang mendapati beliau bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, dilakukan secara tidak berperlembagaan.
Panel hakim Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, dan menghantar Anwar ke penjara untuk menjalani hukuman 5 tahun.
Anwar hari ini berkata Shafee tidak patut dibenarkan mengetuai pasukan pendakwaan terhadapnya.
“Pelantikan seorang pendakwaraya bukanlah amalan biasa bagi peguam negara, dan lebih ganjil lagi bila yang dilantik itu seorang kenalan rapat Najib, yang terlibat secara material di dalam kes tersebut.
“Shafee juga menjadi saksi kejadian konspirasi terhadap saya yang berlaku di dalam kehadiran Najib, yang membuatkan kedua-dua pihak ini berkemungkinan menjadi saksi,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan