ANITA ABU HASAN & AZIHAN GHAZALI
Pemandangan suasana PPR Lembah Subang 1
TIDAK habis-habis isu warga asing. Kali ini heboh pula dengan cerita warga asing mendiami rumah yang sepatutnya untuk rakyat yang kurang mampu untuk memiliki rumah.
Mereka menceroboh atau menyewa rumah PPR daripada orang mahu kaut untung. Ada pula kata, isu ini kaitan dengan gengster. Mengapa ini terjadi? Siapa degil? Warga asing atau rakyat kita tamak? Ikuti laporan Sinar Siasat minggu ini di PPR Lembah Subang 1.
Hujung bulan lalu, PPR Lembang Subang 1 digempur Jabatan Imigresen dengan menahan sekurangnya-kurangnya 24 pendatang asing tanpa izin (Pati) kerana menceroboh beberapa unit kediaman di PPR tersebut.
Serbuan diketuai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali itu adalah berdasarkan laporan media PPR tersebut dihuni secara haram oleh warga asing terutama dari Bangladesh dan Indonesia.
Media berkenaan mendedahkan kira-kira 70 unit kediaman di PPRT Lembah Subang 1 dihuni secara haram warga asing sama ada diceroboh atau disewa daripada warga tempatan.
Mengapa ada warga asing. Hakikatnya PPR berkenaan dibina untuk membantu rakyat Malaysia yang tidak berkemampuan tetapi mengapa terdapat kelibat mereka yang bukan warganegara?
Sudah selesaikah isu warga asing mendiami rumah PPR yang mempunyai lapan blok? Wartawan Sinar Siasat turun padang dan membuat tinjauan.
Maklumat beberapa penduduk PPR pada mulanya agak mengelirukan kerana mereka sendiri tidak ambil berat dan tidak tahu blok mana yang menjadi tempat tinggal warga asing.
Seorang ketua blok, G Suresh ketika ditemui berkata, walaupun serbuan telah dijalankan pihak imigresen, masalah warga asing mendiami PPR tidak akan selesai kerana maklumat serbuan sering bocor.
"Selepas serbuan dua tiga hari ini, saya memang tidak nampak kelibat warga asing tetapi berdasarkan aduan kawan-kawan saya, masih ada warga Bangladesh mendiami PPR ini," katanya.
Suresh berpengalaman sembilan tahun menjadi pemimpin di salah sebuah blok di PPR berkenaan.
Katanya, warga Indonesia, Bangladesh dan Pakistan antara rakyat asing yang mendiami PPR Lembah Subang 1.
Beliau berkata, isu warga asing membanjiri PPR berpunca daripada sikap tuan rumah warga tempatan yang membenarkan warga asing mendiami kediaman mereka untuk mendapatkan hasil bayaran sewa.
"Saya dah beberapa kali ada bercakap kepada mereka (pemilik rumah). Tetapi tidak berkesan dan saya enggan lagi cakap banyak kerana saya tidak mahu ia menyebabkan pergaduhan," ujar Suresh.
Suresh turut mendedahkan, setakat pengetahuannya setiap pemilik rumah mengenakan kadar bayaran sewa bulanan dari RM300 hingga RM500 kepada warg asing.
"Apa yang saya kesalkan, ada orang menuduh isu sewa ini dipermudahkan oleh seseorang ketua blok. Tetapi apabila diperiksa, ia ternyata di luar pengetahuan kami. Ada pihak menggunakan nama orang lain untuk urusan tersebut," kata Suresh.
Tidak hanya bersandarkan kepada kata-kata, Wartawan Sinar Siasat meninjau sendiri keadaan persekitaran setiap blok berkenaan untuk melihat sendiri kelibat warga asing.
Memang masih kelihatan beberapa warga Bangladesh pulang dari bekerja dan menaiki lif disediakan oleh PPR berkenaan. Bukan seorang tetapi ada yang berjalan secara berkumpulan.
Dengan bantuan pengalaman Suresh, dia boleh mengenal pasti kumpulan 'Mat Bangla' itu mendiami salah satu blok di PPR berkenaan. Suresh bukan keseorangan melontarkan kata-kata mengenai isu warga asing ini, namun seorang lagi penduduk dikenali sebagai Pakcik Z mendakwa, setiap blok dari unit PPR tersebut didiami oleh warga asing.
"Saya sudah 18 tahun tinggal di perumahan ini. Sudah 'masak' dengan persekitaran di sini. Setiap blok dihuni oleh warga asing.
"Serbuan tempohari cuma dilakukan ke atas sebuah blok sahaja dengan hanya 24 orang ditahan. Bagaimana dengan blok lain?" soal lelaki tersebut.
Katanya, beberapa unit kediaman itu dikesan dihuni oleh penceroboh termasuk warga asing adalah berdasarkan sambungan bekalan elektrik yang dilakukan secara haram terus dari meter milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau pun meter air.
"Boleh periksa rumah yang mana ada meter atau tidak. Rumah yang ada sambungan bekalan dari meter itulah tanda rumah ceroboh," katanya.
Katanya, sejak dulu keadaan PPR Lembah Subang 1 isu warga asing tetap tidak ada penyelesaian tuntas dipercayai akibat kelemahan pihak tertentu.
Pada 5 Jun lalu pemilik rumah PPR sudah diberi tempoh tiga bulan untuk mengosongkan rumah PPR mereka daripada penyewa warga asing.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata jika gagal, pemilik rumah berkenaan akan dikenakan tindakan termasuk pelucutan hak pemilikan rumah yang mana tindakan tersebut akan bermula dengan rumah PPR di bawah kementerian di seluruh negara.
Sama ada masalah selesai atau tidak menjadi persoalan?
Zuraida sebelum ini pernah mengulas isu PPR Lembah Serdang 1 dengan menggesa penghuni membuat laporan polis berhubung isu menyewakan rumah kepada warga asing bagi memudahkan tindakan undang-undang diambil antaranya seperti pengusiran, penalti serta merampas semula hak pemilikan.
Beliau mengesahan, setakai ini didapati 107 unit rumah PPRT Lembah Subang 1 masih kosong, manakala 837 unit rumah diduduki bukan pemilik sebenar.
Namun didedahkan sekurang-kurangnya 70 unit kediaman di sini dihuni oleh warga asing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan