Tunku Mahkota Johor mendakwa beliau serta Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sedang "diperhatikan" oleh kerajaan.
Menurut Tunku Ismail Sultan Ibrahim maklumat mengenai pemantauan itu disampaikan oleh seseorang kepadanya baru-baru ini.
"Adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai yang telah menyampaikan pesan bahawa saya dan ayahanda saya, Sultan Johor sedang diperhatikan," katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini.
Tunku Ismail juga mendakwa ramai tentera siber diletakkan pada akaun Facebook Johor Southern Tigers (JDT) serta halaman peribadi mereka oleh pihak atasan kerana mereka "kurang senang".
"Ramai juga cybertroopers diletakkan pada halaman JDT serta laman peribadi kami seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown Prince of Johor atas perasaan kurang senang oleh beberapa pihak atasan," katannya.
Sebelum itu Tunku Ismail menceritakan bagaimaan beliau dihampiri seseorang yang menjelaskan mengenai suatu peralatan pengintipan serta pengumpulan data buatan Israel.
Katanya teknologi tersebut turut digunakan sebelum pilihan raya baru-baru ini, serta dimanfaatkan sebagai bantuan dalam perang siber.
Tiada tempat lagi
"Beberapa orang pegawai kerajaan berjumpa saya dengan menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, unit khas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Pejabat Perdana Menteri turut menggunakan peralatan ini.
"Apabila ia (digunakan untuk) keselamatan negara, saya berpendapat ia adalah sesuatu yang sangat berharga.
"Namun, peralatan ini tidak patut diseleweng oleh mana-mana pihak untuk kepentingan sendiri," katanya lagi.
Kata pemilik kelab bola sepak JDT itu beliau tahu peralatan tersebut digunakan oleh kerajaan BN tetapi ia tidak wajar berlaku selepas pentadbiran negara bertukar.
"Tiada tempat untuk pengalaman sebegini kini," katanya.
Tunku Ismail kemudian mengakui beliau memang lantang bersuara namun ia dilakukan hasil perasaannya yang sayangkan Johor selain melaksanakan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat.
"Saya tidak akan berdiam diri jika ada beberapa parti ingin mengambil kesempatan memecah-belahkan perpaduan Bangsa Johor yang unik ini.
"Biar saya jelaskan sekali lagi bahawa saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan kerajaan.
"Johor sentiasa menyokong penuh kerajaan yang memerintah.
"Dengan itu, kami akan menyokong segala keputusan yang betul. Namun kami juga tidak akan berdiam diri apabila berlaku keputusan yang salah," katanya.
Malaysiakini sudah menghubungi Pejabat Perdana Menteri, seorang pembantu Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta Bukit Aman dan sedang menunggu reaksi mereka mengenai dakwaan tersebut.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan