Pegawai pengurus p'raya Rantau dihukum penjara 3 bulan
Hafiz Yatim
Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini memerintahkan pegawai pengurus pilihan raya (RO) di DUN Rantau, pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Amino Agus Suyub dikenakan hukuman penjara tiga bulan kerana menghina mahkamah.
Hakim Datuk Azimah Omar, memerintah demikian setelah mendapati Amino Agus bersalah menghantar mesej teks kepada penolong pegawai pengurus SPR, Daing Muhamad Rahimi dengan cuba mengajarnya menjawab soalan.
"Sebagai seorang RO dan pegawai daerah (Rembau), kamu seorang pegawai kerajaan, seorang kakitangan kerajaan tetapi kamu cuba mengajar saksi cara menjawab soalan.
"Tindakan kamu ini mengganggu prosiding dan ini sangat serius," kata Azimah.
Amino dan Daing, yang juga penolong pegawai daerah Rembau, memberi keterangan dalam petisyen pilihan raya Dr S Streram.
Calon PKR itu mencabar keputusan bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan yang diisytiharkan sebagai pemenang.
Streram mendakwa beliau dihalang daripada mengemukakan borang pencalonannya di pusat penamaan calon pada 28 April lalu.
Antara mesej yang dijumpai dihantar oleh Amino kepada Daing adalah:
"Assalam, lepas ni Ko akan jadi saksi. Hati2 teruk den kono soal dalam court.hari ni sambung lagi. cuma den bagi tau pass dah tak relevan semasa penamaan calon kerana ko kono bertugas dlm dewan. Hanya perlu beritahu RO utk kebenaran masuk Dewan."
Daing kemudian menjawab "Wassalam baik tuan."
Amino seterusnya membalas "Lebih baik cakap tak tahu".
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan