Gegaran misteri di seluruh dunia


Gelombang seismik itu menyebabkan sensor di Zambia, Kenya dan Ethiopia beralih sejauh lebih 17,000 km.
LONDON - BRITAIN. Gelombang seismik aneh telah menggemparkan seluruh dunia pada 11 November lalu.

Apa yang lebih pelik, tiada sesiapa merasainya, sekali gus mengejutkan para saintis.

Ia digambarkan oleh National Geographic sebagai 'gegaran misteri' yang berlaku di seluruh dunia yang mana gelombang itu bermula berhampiran Mayotte, sebuah pulau Perancis antara Afrika dan utara Madagascar.

Gegaran itu menyebabkan sensor di Zambia, Kenya dan Ethiopia beralih sebelum ia ditemui di Chile, New Zealand, Kanada dan Hawaii sejauh hampir 17,702 kilometer (km).

Sehingga kini, pakar masih membahaskan apa yang mencetuskan kejadian pada 11 November lalu, sama ada ia adalah ujian nuklear, kapal selam atau gunung berapi.

Ahli seismologi di Universiti Colombia, Goran Ekstrom berkata, beliau tidak pernah melihat kejadian seumpama itu.

Difahamkan, Mayotte yang merupakan pulau kecil dengan populasi 250,000 penduduk telah mengalami gempa sejak Mei lalu.

Kebanyakannya adalah gegaran kecil, namun gempa paling kuat, 5.8 magnitud direkodkan pada 8 Mei lalu.

Pusat Pemerhati Perancis mengesyaki terdapat gunung berapi baharu mungkin terbentuk di luar pantai Mayotte yang wujud hasil daripada aktiviti vulkanik yang tidak aktif selama lebih 4,000 tahun.

"Ia mungkin berlaku akibat pergerakan magma kira-kira 50 km di luar pantai dan dasar laut," menurut agensi itu.

Laporan itu disokong dengan sensor GPS yang mengesan pergerakan Mayotte ke tenggara kira-kira 5 sentimeter dalam tempoh kurang daripada lima bulan. - The Sun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan