ROSLINDA HASHIM
ALOR SETAR - Himpunan ICERD, Sabtu lalu mencipta sejarah negara apabila dua parti yang juga musuh tradisi bergabung.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, malangnya gabungan kleptokrat dan ulama itu memperjuangkan sesuatu yang tidak wujud.
“Himpunan gabungkan golongan kleptokrat dan ulama ini yang bersejarah. Bagaimana dua golongan ketara bezanya boleh bersama. Satu pihak telah merosakkan negara, satu pihak lagi bantah ICERD yang sudah ditolak kerajaan.
“Situasi itu menyedihkan kerana masing-masing cuba menutup kelemahan dengan tampil sebagai juara umat Islam,” katanya.
Menurutnya, gabungan itu kelihatan janggal dan himpunan itu umpama lawak jenaka kerana membantah perkara yang tidak wujud.
“Saya buat sujud syukur bila kerajaan tolak ICERD, itu gambaran kesyukuran bukan dengan adakan himpunan.
“Apa pun, tahniah kepada Umno dan Pas kerana berjaya berganding bahu dan beriringan pada himpunan bersifat sentimen keagamaan dan perkauman sempit,” katanya.
Menurutnya, ia sekadar untuk mengalih pandangan konon kerajaan PH bersekongkol dengan pihak yang merugikan umat Islam dan Melayu.
“Saya percaya gabungan kerjasama itu mempunyai agenda lain iaitu untuk menyekat kebanjiran Melayu untuk bersama PH.
“Mereka mula sedar, semakin ramai Melayu sokong PH, jika berterusan Umno akan lumpuh,” katanya.
Mahfuz berkata, Pas dinasihatkan supaya menyedari helah itu sedangkan pada PRU14 parti itu menentang kleptokrat namun kini bersekongkol pula dengan parti sama.
“Mereka gunakan alasan bantah ICERD, ia sekadar untuk tutup keburukan yang mereka lakukan,” katanya.
Dalam pada itu, ibu bapa harus bertanggung jawab menjaga keselamatan anak yang dibawa ke himpunan berkenaan.
“Cuma elakkan beri asuhan kepada anak dengan elemen tidak sihat seperti unsur keganasan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan