FMT Reporters
Pasti ramai yang teruja bila mendapat berita kehamilan, maklum sahaja ia bakal membuka lembaran baru sebagai ibu dan ayah. Namun tidak semua bernasib baik dan dapat melihat zuriat lahir akibat masalah keguguran. Mungkin belum rezeki.
FMT Ohsem kongsikan dengan anda fakta dan info mengenai keguguran yang anda perlu tahu.
Menurut portal MyHealth, keguguran adalah keadaan di mana ibu yang hamil turun darah sebelum minggu ke-20 kandungan. Semasa keguguran, janin atau kandungan di dalam rahim gagal untuk terus hidup. Keguguran berlaku kepada 8-20% ibu mengandung. Kebanyakan kes (80%) berlaku sebelum minggu ke 13 manakala 20% berlaku pada ibu yang kurang dari 20 minggu mengandung.
Faktor penyebab
Masalah genetik: 30% keguguran berlaku sebelum minggu ke-8 dan penyebab utama adalah masalah genetik. Embrio terhasil dari persenyawaan telur isteri dan sperma suami gagal membesar dan membahagi kepada janin. Masalah genetik merangkumi 40-45% dari sebab keguguran.
Masalah penyakit si ibu: masalah kesihatan seperti kencing manis yang tidak terkawal, masalah struktur dalam rahim (septum) atau fibroid
Faktor-faktor yang meningkatkan risiko keguguran
Usia ibu: ibu yang berumur (lebih tua) berisiko tinggi berbanding yang lebih muda
Pernah keguguran: jika keguguran sekali, risko untuk gugur lagi adalah 20%, dan jika pernah 2 kali gugur, risiko adalah 30%. Risiko meningkat kepada 43% kalau pernah 3 kali gugur atau lebih.
Merokok: Merokok lebih dari 10 batang sehari (atau perokok pasif) boleh meningkatkan risiko
Alkohol: Pengambilan alkohol semasa mengandung walaupun sedikit boleh menyebabkan keguguran.
Demam panas: Suhu demam ibu mengandung yang tinggi (37.80 darjah Celcius atau lebih) boleh menyebabkan keguguran
Trauma: trauma (kemalangan) dibahagian rahim semasa mengandung boleh meningkatkan risiko. Ini termasuk juga rawatan amniocentesis dan chronic villous sampling
Kafeine: pengambilan kopi atau bahan berkafein seperti cola dan sebagainya berlebihan boleh meningkatkan risiko. Tidak digalakkan mengambil lebih dari 300mg sehari.
Sebab-sebab lain: risiko meningkat kalau si ibu tercemar dengan bahan seperti: jangkitan, ubat-ubatan yang tidak sesuai, stress fizikal yang berlebihan, radiasi dan bahan-bahan kimia.
Jenis keguguran
Keguguran terancam (Threatened miscarriage) – ibu akan mengalami turun darah dan sakit di bahagian bawah perut. Pangkal rahim (servik) masih tertutup, dan saiz rahim sama dengan minggu mengandung. Di kebanyakkan kes, pendarahan akan berhenti sendiri dan kandungan boleh selamat dilahirkan cukup bulan. Ada juga kes dimana pendarahan menjadi lebih banyak (tumpah darah) dan akhirnya gugur.
Keguguran tidak dapat dielak (inevitable miscarriage) – keguguran tidak dapat dielakkan. Pangkal rahim terbuka, tumpah darah bertambah banyak dan sakit perut bertambah kuat.
Keguguran tidak lengkap (incomplete miscarriage) – bermakna janin telah gugur keluar tetap masih ada yang tertinggal lagi dalam rahim. Pintu pangkal rahim terbuka dan boleh tumpah darah yang banyak.
Keguguran lengkap (complete miscarriage) – janin telah keluar sepenuhnya. Keguguran berlaku sebelum minggu ke-12. Pendarahan dan sakit berkurang tanpa rawatan. Semasa pemeriksaan dilakukan (oleh doktor), pintu pangkal rahim sudah tertutup dan simptom-simptom mengandung sudah hilang. Ultra bunyi menunjukkan rahim tidak tertinggal janin.
Keguguran septik (septic miscarriage) – ibu yang keguguran dijangkiti kuman yang menjangkiti rahim. Simptom termasuk demam panas, mengigil, sakit perut, pendarahan faraj dan lendiran dari faraj (berbau busuk dan kental berwarna kuning)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan