“Semakin Umno-Pas rapat, semakin ramai ahli Pas Kelantan lari”

ARIF ATAN
Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed memberitahu pihaknya bersedia untuk menerima ribuan penyertaan bekas ahli dan penyokong Pas mulai Januari ini.

Menurutnya, hubungan mesra Pas dan Umno setakat ini mengundang rasa tidak puas hati rata-rata ahli parti yang diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

“Kita yakin semakin Umno dan Pas merapatkan diri, semakin ramai ahli Pas melarikan diri. Hubungan Umno-Pas nampaknya tidak diterima akar umbi.

“AMANAH Kelantan sentiasa bersedia untuk menerima mereka yang menolak hubungan Umno-Pas itu,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline dalam Konvensyen Nasional AMANAH di Ipoh, Perak hari ini.

Sehubungan itu, Ketua AMANAH Ketereh berkenaan meletakkan sasaran keahlian baharu AMANAH Kelantan yang lebih ramai berbanding pencapaian sebelum ini.

“Perkembangan amat memberangsangkan dengan pertambahan keahlian. Buktinya, Kelantan telah mencipta hatrik keahlian teramai tiga bulan berturut-turut untuk seluruh Malaysia.

“Sepanjang Ogos, September dan Oktober lepas, Kelantan mendapat tempat pertama dari segi keahlian teramai di Malaysia dengan purata 2,500 keahlian baharu.

“Jadi, kita sedang membuat persiapan menerima ahli baharu bermula Januari ini dengan sasaran 3,000 keahlian,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ustaz Che Ibrahim berkata, AMANAH Kelantan dilihat bakal mempunyai mekanisme pentadbiran di peringkat Pusat melalui penubuhan Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan (MTPP) selewat-lewatnya Februari depan.

“Kita akan ada jentera penyelaras di peringkat Parlimen dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung. Selesai semua ini, kita yakin keahlian AMANAH akan lagi bertambah.

“Sekarang kalau kita bergerak ke agensi-agensi kerajaan, kita dalam dilema sebab kita tidak ada platform.

“Kita mahu ke Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan), Mardi atas platform apa? Sebab tidak boleh atas kapasiti parti.

“Bagi melicinkan pergerakan, kita terpaksa tunggu satu mekanisme kerajaan Pusat melalui penubuhan MTPP di peringkat kerajaan negeri Kelantan,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan