Omar Zin
KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 restoran didenda sehingga RM1 juta masing-masing kerana menyalahgunakan ayat al-Quran untuk memberi tanggapan premis mereka berstatus halal, kata Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman.
Katanya, tindakan itu diambil bulan lalu, di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
“Dalam tempoh 11 Januari hingga 31 Januari lalu, sebanyak 1,975 premis telah diperiksa dan 28 daripadanya disyaki mempunyai elemen menyalahgunakan ayat al-Quran bagi menggambarkan premis seolah-olah halal.
“Jadi, restoran-restoran itu didenda sehingga RM1 juta, tetapi nasihat saya kepada pengguna, jika restoran itu popular, tetapi tidak ada sebarang tanda halal, jangan masuk,” katanya dalam program bual bicara MyHalal di RTM, hari ini.
Isu restoran mamak palsu terbongkar, susulan operasi KPDNHEP sejak bulan lalu untuk mengesan tindakan pengusaha menggunakan kalimah menyerupai ayat al-Quran dan gambar masjid bagi menarik pelanggan ke premis mereka yang tidak memiliki sijil halal.
Penolong Pengarah Kanan Majlis Halal Malaysia, Mohd Amri Abdullah menggalakkan restoran bukan Islam yang mematuhi syarat ditetapkan untuk memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Halal bukan hak mutlak orang Islam, tetapi untuk semua, selagi mana ia mematuhi konsep halalan toyyiban, termasuklah prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Halal Malaysia.”
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Ayoob Khan Ayub Khan Muhamad Yakub berkata, cadangan untuk pengusaha restoran mamak mengambil 100% pekerja Islam tidak boleh dilakukan secara mendadak.
“Kami cuba sedaya upaya bawa 100% orang Islam sebagai pekerja restoran, tetapi bukan mudah. Tenaga kerja dalam kalangan orang Malaysia kurang dalam bidang perkhidmatan makanan.
“Kami sanggup bayar gaji tinggi untuk pekerja tempatan, tetapi tiada siapa yang mahu, sebab itu terpaksa ambil orang luar.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan