Kerjasama Umno-Pas tidak gugat PH, kata ahli akademik

MALAYSIA DATELINE
Ahli akademik berpendapat Pakatan Harapan (PH) tidak terjejas dengan kerjasama Umno-Pas memandangkan PH yang pada masa ini memegang kuasa.

Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, idea penyatuan Melayu di sebalik kerjasama Umno-Pas dilihat menggugat PH dalam konteks pilihan raya kecil kini tetapi mungkin berbeza menjelang PRU-15 nanti.

“Sekiranya PH mampu memerintah dengan cemerlang pada masa depan sebelum PRU-15, tiada parti yang mampu menggugat kekuatan PH nanti,” dipetik dari Berita Harian hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, masa depan BN sebagai parti gabungan terus malap dan akan berkubur sekiranya berlaku kerjasama politik antara Umno dan Pas.

“Sebenarnya, PH sebagai Kerajaan Persekutuan lebih mampu membawa idea penyatuan Melayu kerana kuasa di tangan mereka,” ujarnya.

Dr Mohd Azizuddin berkata, idea penyatuan Melayu tidak harus dilihat hanya bercorak kepartian sebaliknya perlu bersifat secara lebih menyeluruh.

Jelasnya lagi, penyatuan Melayu harus dilihat lebih meluas sifatnya membabitkan kerjasama pelbagai parti, organisasi bukan kerajaan dan rakyat amnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan