'Noktahkah polemik istilah kafir, non-muslim'

Zolkharnain Abidin

ULASAN | Bagi saya, polemik istilah kafir atau non-muslim sebagai panggilan kepada mereka yang bukan beragama Islam di Malaysia tak wajar diperpanjangkan.

Walaupun saya sendiri punya kefahaman yang mencenderungi panggilan non-muslim, bukan panggilan kafir, namun mengheret isu ini kepada polemik istilah sebegitu tidak membawa banyak kebaikan.

Kenapa saya berkata begitu? Pertama, realiti Malaysia dari sudut interaksi antara agama dalam dakwah tidak pernah terganggu dengan panggilan kafir.

Hal ini kerana, jarang benar orang Islam memanggil secara berdepan orang yang tidak seagama dengannya dengan panggilan "hai kafir". Biasanya mereka disapa dengan panggilan encik, saudara, Mr, Mrs, Miss dan diikuti dengan namanya.

Kedua, saya percaya orang yang tidak beragama Islam di Malaysia sudah menerima suatu hakikat tentang kewujudan istilah kafir dalam kitab dan tradisi ilmu Islam yang merujuk kepada mereka.

Jika berbangkit persoalan mengapa istilah itu diguna, penjelasan mengenainya kepada pihak yang membangkitkannya akan dapat merungkai kekusutan itu.

Kefahaman berbeza

Memang ada pihak yang akan menggunakan istilah kafir dengan tujuan merendah-rendah, memperlekeh atau menghina mereka yang bukan beragama Islam, namun jika istilah non-muslim diguna sekalipun, istilah kafir akan terus diguna juga sebagai istilah untuk memperlekeh sebab istilah itu memang terus wujud dalam tradisi Islam dan akan terus diperguna secara salah oleh pihak berkenaan.

Ketiga, perlu diingat, ada sebahagian orang yang bukan beragama Islam tidak suka mereka dipanggil non-muslim atau bukan Islam kerana mereka tidak mahu diri mereka dikaitkan dengan perkataan Islam. Penganut Buddha misalnya, dia mahu dikenali sebagai Buddhist, dan bukan non-muslim.

Sama seperti orang Islam yang kurang selesa jika orang Buddhha memanggilnya non-Buddhist, kerana dirinya dikaitkan dengan Budhha, padahal dia seorang muslim.

Keempat, kefahaman orang Melayu terhadap istilah kafir tidaklah seperti kefahaman orang Arab terhadap istilah itu. Bagi orang Arab dan dalam tradisi ilmu Islam, memanglah perkataan kafir membawa maksud pelbagai martabat keingkaran; kufur aqidah dan kufur nikmat.

Namun, bagi orang Melayu, istilah kafir itu cuma merujuk kepada orang yang tidak menganut Islam. Sehingga kini nampaknya penggunaan orang Melayu terhadap istilah itu dalam negara ini tidak pernah mencetuskan apa-apa pergeseran agama lagi.

Jika ada insiden yang berpotensi mencetus konflik antara agama, pada pemerhatian saya, ia bukanlah bertitik-tolak daripada penggunaan istilah itu, tetapi lebih kepada aksi-aksi provokatif segelintir individu yang nakal sama ada dalam kalangan orang Islam atau sebaliknya.

Justeru, saya fikir, polemik panggilan kafir atau non-muslim dalam realiti hubungan antara agama di Malaysia elok dinoktahkan.

Kebimbangan saya ialah, api kebencian antara agama akan lebih galak memercik jika polemik ini diteruskan lantaran orang Islam sendiri (walaupun bukan semua) masih sukar untuk melihat isu ini dari sudut wacana akademik dan kepentingan dakwah jangka panjang.

Bilakah wacana ini sesuai diketengahkan kepada masyarakat umum? Apabila masyarakat kita sudah boleh melihat dan menerima suatu kerangka berfikir yang lebih progresif, inklusif dan rencam.

Bila? Apabila masyarakat kita boleh menerima suatu hakikat iaitu kepelbagaian agama itu sendiri adalah rahmat Allah untuk semesta alam.

ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan