Semenyih isyarat rajuk, jauh hati pengundi Melayu?

ARIF ATAN
Pengundi Semenyih sudah pun bersuara semalam. Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan kerusi N.24 apabila calonnya, Muhammad Aiman Zainali mendapat 17,866 undi berbanding calon BN, Zakaria Hanafi dengan meraih 19,780 undi.

Majoriti sebanyak 1,914 undi itu boleh dilihat sebagai isyarat tidak puas hati rakyat terutama pengundi Melayu yang mewakili 68 peratus daripada keseluruhan 54,503 pemilih berdaftar di Dun tersebut.

Lihat sahaja pusat daerah mengundi (PDM) dengan 17 daripada 21 PDM terdiri daripada majoriti pengundi Melayu. Itu belum lagi trend pengundi muda yang mulai beralih sokongan kepada BN.

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) keenam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) itu juga selari dengan analisis Ilham Centre yang bertemu dengan 378 responden pada 26 hingga 28 Februari dengan menekankan kesukaran PH untuk memikat pengundi Melayu.

Isu nasional yang lebih dominan termasuk 61.4 peratus daripada pengundi Semenyih tidak teruja dengan pengumuman cadangan Kerajaan PH untuk menggantikan tol di empat lebuh raya dengan caj kesesakan serta pemberian tol percuma antara jam 11 malam hingga 5 pagi.

Sebanyak 74.6 peratus responden pula berpendapat kerajaan PH gagal menunaikan janji manifesto; dan 58.7 peratus pula menganggap kerajaan PH gagal membela Melayu-Muslim sejak mengambil alih kerajaan Persekutuan.

Pola pengundi Melayu yang seakan-akan kecil hati dengan kerajaan PH juga telah dicerap dalam empat kali tinjauan Malaysia Dateline di sekitar Dun Semenyih bermula 10 Februari iaitu enam hari sebelum penamaan calon diikuti pada 20, 23 dan 27 Februari lalu.

Di Beranang pada 10 Februari lalu, beberapa pengundi ditemui memberitahu sudah merajuk hati bahkan serik untuk mengundi PH lagi.

Malaysia Dateline ketika itu membuat liputan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berbasikal sejauh 25 kilometer bermula dari Ecohill Park sambil singgah ziarah di beberapa rumah asnaf di lima buah kampung.

Perkampungan tradisi itu melibatkan Kampung Rinching Tengah, Kampung Sesapan Kelubi, Kampung Jalan Enam Kaki, Kampung Sesapan Batu Minangkabau dan Kampung Sesapan Batu Rembau.

Sambil melihat Syed Saddiq beramah mesra dengan asnaf, saya mendekati waris keluarga tersebut bertanyakan peluang PH untuk menang.

Agak mengejutkan, walaupun seorang menteri PH sedang memberi sumbangan termasuk sekampit beras kepada orang tua mereka, empat waris terbabit memberi reaksi yang dingin tanpa teruja menyatakan sokongan kepada PH.

Seorang daripadanya sekadar tersengih manakala seorang lagi sekadar menjawab ringkas “payah dah”. Dua lagi mempersoal di mana janji PH untuk mengurangkan kos sara hidup dan menghapuskan bayaran tol.

Mereka mengaku faham kekangan untuk berbuat demikian dalam tempoh singkat tetapi menyoal “takkan (bayaran tol) tak boleh kurang?”

Bukan sedikit pengundi menganggap pemimpin Melayu PH tidak berani menolak tuntutan bermotifkan perkauman daripada pemimpin DAP tertentu.

Jaga Melayu!

“Buek (Buat) macam rumah sendiri,” pelawa seorang pemilik kedai makan di Jalan Besar, Pekan Batu 26 Beranang bersebelahan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Beranang pada 10 Februari lalu.

Melihatkan keramahannya melayani saya dan jurugambar Malaysia Dateline, Wan Zahari Wan Salleh sejurus selesai membuat liputan program Syed Saddiq dalam cuaca panas terik ketika itu, beliau juga saya tanyakan tentang ‘demam’ PRK.

“Apo yang penting – Melayu! (Beberapa kali ayat itu diulang). Yang tidak jaga bangsa kita, jangan harap orang Semonyih (Semenyih) undi,” jawabnya dengan nada sedikit perlahan tetapi tegas sambil merapati saya ketika ditanya parti mana akan menang.

Reaksi spontannya itu sekali gus memberi gambaran kepada pilihannya nanti di peti undi yang merupakan antara lebih 37,000 pengundi Melayu di Dun Semenyih.

Tanggapan kerajaan PH gagal membela Melayu-Muslim sejak mendapat mandat ke Putrajaya pada 9 Mei tahun lalu seperti dicerminkan melalui angka 58.7 peratus responden yang ditemui Ilham Centre itulah telah diterjemah di kertas undi pada PRK N.24 semalam.

Berkemungkinan besar kemarahan pengundi Melayu ekoran rusuhan ganas di kuil di Subang Jaya, Selangor yang membawa hilangnya nyawa seorang anggota bomba tetapi disambut beberapa pemimpin India PH dengan mengadakan sidang media menyalahkan polis selain mengaitkan dengan Islam dilihat turut diterjemah ke kertas undi di Semenyih.

Pada masa sama, desakan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dari DAP dan produk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebelum ini dalam menuntut Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf selain peruntukan RM12 juta kepada SMPC serta pemberian cek berjumlah RM1.2 juta kepada New Era University College (NEUC) di Kajang mungkin turut menebalkan rasa tidak puas hati pengundi Melayu termasuk kelas menengah.

PDM seperti di Kantan Permai dan Bukit Mahkota yang merupakan antara kawasan majoriti kelas elit Melayu, menyaksikan peralihan kira-kira lapan peratus kepada BN berbanding lebih separuh undi dimenangi PH pada PRU-14 lalu.

Bibit-bibit kekalahan PH kemudiannya kuat dirasakan ketika saya dan jurugambar, Syafiq Iskandar pada 23 Februari membuat tinjauan sentimen pengundi sambil mendaki Bukit Broga yang ikonik dengan Semenyih itu.

Hanya seorang penjawat awam di Putrajaya bernada lunak kepada kerajaan PH manakala dua lagi mengkritik. Mereka terdiri daripada seorang anggota dari Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan nada lebih keras daripada seorang bekas jurutera forensik.


Ramai pengundi Melayu di Semenyih yang ditemui dekat Bukit Broga persoal kerajaan PH dari segi kepentingan Melayu Islam dan menangani kos sara hidup.

Lebih mengejutkan apabila pengundi awal dari PGA itu memberitahu kira-kira 90 peratus penduduk Semenyih yang menjadi ahli dalam kumpulan tertutup Facebook, “Kami Penduduk Semenyih” dengan disertai hampir 55,000 orang secara terbuka menyatakan rasa tidak puas hati dengan prestasi PH dalam menunaikan janji pilihan raya lalu.

Sambil menuruni Bukit Broga juga, kami dapat melihat seorang pengunjung selamba memberikan anaknya memegang bendera kecil BN. Tentunya seorang penyokong atau pengundi PH tidak membenarkan keadaan itu berlaku!

Hanya sepasang pengundi Cina warga emas terang-terang menyokong PH dan pada masa sama menganggap bantuan kewangan kerajaan hanya melemahkan rakyat terutamanya Melayu.

Beberapa tindakan PH sepanjang kempen berlangsung juga dilihat menimbulkan pertikaian warganet sepanjang kempen PRK N.24 lalu. Antaranya, sumbangan bubur lambuk di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih selepas solat Jumaat sehari sebelum hari membuang undi.

Gambar Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan jentera pilihan raya PH mengedarkan pek bubur lambuk tertera pelekat PH itu tersebar di media sosial sekali gus dilihat langkah terdesak PH memujuk segmen pengundi Melayu yang sudah berjauh hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan