Muhyiddin minta maaf dari Dr M - Sumber

Annabelle Lee

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa mesyuarat tergempar majlis tertinggi parti itu pada malam Isnin, kata sumber.

"Muhyiddin memberikan versi kejadian yang membawa kepada atau menyumbang kepada rombakan exco (Johor), dan dia kemudian meminta maaf," kata sumber itu.

Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu dikatakan marah terhadap perubahan yang dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor.

"PM tidak mengatakan apa-apa lagi, tetapi berkata sukar untuk beliau menegakkan kedaulatan undang-undang khususnya merujuk kepada Sultan Johor (dan kenyataan Dr Mahathir ini) dipersetujui oleh majlis tertinggi," katanya kepada Malaysiakini.

Mesyuarat Bersatu diadakan pada hari yang sama berlangsungnya lantikan exco baru terahadp Solihan Badri, Tosrin Jarvanthi (kedua-duanya Adun Bersatu) dan Tan Chen Choong (DAP).

Daulah terpendam

Pada 13 April, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan menetapkan prasyarat supaya barisan exco dirombak apabila seorang menteri besar baru menggantikan Osman Sapian, yang meletak jawatan selepas 11 bulan menerajui pentadbiran negeri.

Keesokan harinya, Shahruddin Jamal bersumpah sebagai menteri besar.

Dalam perkembangan yang berkaitan, penasihat media kepada perdana menteri, A Kadir Jasin juga menyebut permintaan maaf telah dibuat tetapi tidak memberikan butiran terperinci.

"Permohonan maaf sudah dibuat dan diterima. Ayuh kita mara.

"Jangan biarkan "deep state" pecahkan kita. Ayuh tegakkan undang-undang dan lembaga.

"Jangan pilih rakyat jelata atau raja. Johor sama macam negeri-negeri lain juga. Sebahagian daripada Malaysia," katanya pada hantaran Facebook.

Kewujudan daulah terpendam (deep state) pertama kali dibangkitkan oleh Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah selepas Malaysia menarik diri dari Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Istana Johor, terutamanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim lantang membantah Statut Rom.

Selain itu, Mahathir juga bercanggah dengan istana mengenai pilihan menteri besar, berkata sekiranya raja memutuskan perkara ini, maka Malaysia tidak akan menjadi negara demokratik.

Pada hantaran blog terdahulu, perdana menteri berkata perlembagaan negeri Johor dan Terengganu terbatal dengan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.

Dr Mahathir juga berkata parti pemerintah sesuatu negeri boleh menolak calon menteri besar pilihan raja berperlembagaan melalui undi tidak percaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan