'Saya tak tahu kalau presiden PAS nak saman menantu'

N Faizal Ghazali

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar mengungkapkan isu pendedahan yang dibuat oleh menantu presiden PAS, Zaharudin Muhammad membuktikan dakwaannya mengenai penerimaan dana daripada Umno oleh pimpinan PAS sebelum ini adalah benar.

Menurutnya, beliau sendiri sudah membangkitkan perkara itu sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu namun dinafikan sekeras-kerasnya.

Malah katanya, ramai ahli dan penyokong PAS termakan dengan penafian tersebut.

"Apabila menantu presiden PAS sendiri mendedahkan perkara ini, maka dakwaan saya dan rakan-rakan sebelum PRU lagi terbukti benar.

"Malah ketika itu ada yang kata PAS nak ambil tindakan mahkamah terhadap saya, saya tak tahu kalau presiden nak saman menantu atau PAS nak saman menantu presiden pula," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Zaharudin melalui beberapa catatan di Facebook membangkitkan isu "kartel dedak" dalam parti itu.

Menantu Abdul Hadi Awang itu turut mendedahkan lima pemimpin PAS terbabit dalam penerimaan wang jutaan ringgit daripada Umno.

Bagaimanapun lima nama pemimpin berkenaan tidak dinyatakan dengan jelas, sebaliknya diletakkan mengikut singkatan nama individu yang dimaksudkan.

Zaharudin turut mendakwa pendedahannya dalam isu tersebut direstui, Abdul Hadi, namun mentuanya itu menafikan restu tersebut.

Sementara itu, Mahfuz yang juga anggota parlimen Pokok Sena berkata, kenyataan Abdul Hadi yang tidak merestui apa yang didedahkan oleh Zaharudin bermakna beliau menafikan apa yang dibuat oleh menantunya.

"Timbul tanda tanya, apakah dia sedang melindungi perlakuan-perlakuan yang begitu buruk yang dilakukan oleh pimpinan PAS?

"Adakah presiden sendiri terlibat dalam hal ini atau dengan pengetahuan presiden sendiri apa yang dilakukan oleh orang-orang yang dimaksudkan menantunya?

"Saya ucapkan tahniah kepada menantu Zaharudin sebagai ahli parti ini yang kita mahu, harus berani tampil ke hadapan," katanya yang juga timbalan menteri sumber manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan