Islam jadi alat politik kepartian secara berleluasa

Dr Mohd Asr Zainul Abidin
Ramai yang mendesak saya mengulas mengenai beberapa isu panas seperti berbuka puasa di rumah ibadah agama lain, bukan muslim menyampaikan zakat dan seumpamanya.

Semua ini asalnya isu fikah atau hukum yang telah bertukar menjadi isu politik kepartian. Untuk itu, saya ingin menarik perhatian kepada beberapa perkara berikut dalam memahami isu-isu ini.

Islam itu membimbing semua aspek kehidupan manusia termasuk politik. Islam itu bukan semuanya politik, namun politik mestilah tidak bercanggahan dengan Islam yang penuh maslahah untuk manusia.

Parti politik perlu mematuhi ajaran Islam, bukan parti politik menentukan hukum-hakam Islam sesuai dengan kepentingan parti.

Banyak perbahasan isu-isu agama menjadi tidak rasional disebabkan berleluasanya penggunaan Islam sebagai alat politik kepartian.

Hal ini bukan sahaja membabitkan satu atau dua parti politik, sebaliknya hampir keseluruhan. Bahkan ada parti tertentu yang begitu memperalatkan Islam dalam politik kepartian mereka.

Hukum-hakam syarak - jika dilihat dan dibahas secara objektif - sudah pasti pertimbangan kita lebih adil dan saksama. Umpamanya, iftar (berbuka puasa) di rumah ibadah agama lain pada asalnya tidaklah membatalkan akidah ataupun puasa.

Tiada larangan syarak

Sedangkan solat yang merupakan ibadah utama yang membabitkan amalan khusus pun, ulama berbeza pendapat mengenai hukum menunaikannya di gereja ataupun rumah ibadat.

Ini seperti yang disebut Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitab fekahnya al-Mughni di bawah fasal Mengenai Solat Dalam Gereja Yang Bersih.

Ada yang membolehkan dan ada yang memakruhkan disebabkan wujud patung dan gambar di dalamnya. Bahkan pendapat yang membolehkan itu diambil daripada sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Umar al-Khattab dan Abu Musa al-‘Ashaari.

Juga daripada salaf seperti Umar ‘Abd al-‘Aziz, Hasan al-Basri, al-Sya’bi, al-Auza’i dan Sa’id bin ‘Abd al-‘Aziz.

Majma’ al-Fiqh al-Islami (International Islamic Fiqh Academy) yang bersidang di Amman, Jordan pada Okt 1986 menjawab persoalan International Institute of Islamic Thought (IIIT) berkaitan hukum menyewa gereja untuk solat, menyatakan: Menyewa gereja untuk solat ketika perlu, tiada larangan dari segi syarak. Hendaklah dielak solat mengadap ke arah patung-patung dan gambar-gambar. Hendaklah ditutup dengan tutupan jika ia berada pada arah Kiblat.

Jika solat di gereja atau rumah ibadah yang lain dibolehkan andainya ada keperluan untuk itu, maka sudah pasti berbuka puasa - yang sekadar menjamah makanan - pasti lebih dibolehkan.

Bahkan berbuka puasa itu tidak memerlukan upacara khas selain sekadar makan sahaja. Ia boleh dilakukan di mana-mana.

Ibadah solat tidak disertai oleh orang yang tidak berkaitan, sedangkan hidangan makanan iftar boleh disertai oleh sesiapa sekalipun termasuk orang yang tidak berpuasa seperti wanita dalam haid, bukan muslim dan seumpamanya.

Iftar tidak perlu mengadap kiblat, berwuduk atau suci daripada hadas besar. Apa yang perlu hanyalah makanan yang halal.

Benar, ketika berbuka disunatkan kita berdoa. Ia boleh dilakukan secara sendirian. Maka, jika ada keperluan, bukanlah sesuatu yang menjadi isu besar untuk berbuka di tempat ibadah orang lain - jika ia dilihat di sudut ilmiah.

Fatwa diubah ikut 'angin'

Namun ia satu masalah jika dilihat dari persepsi politik, atau majlis iftar itu sendiri bersifat politik.

Justeru, konteks kejadian itu hendaklah dikaji. Umpamanya, di zaman Islamophobia, jika ada kumpulan muslim di negara minoriti Muslim berjaya menganjurkan majlis berbuka puasa di gereja atau tempat ibadat agama lain - sebagai usaha memperkenalkan Islam atau memberikan persepsi yang baik berkaitan Islam - pastilah ia sesuatu yang baik.

Demikian juga jika ada keperluan yang nyata untuk ia dilakukan di mana-mana dalam usaha mendekatkan kefahaman Islam kepada mereka yang jauh atau ada sangkaan yang salah.

Namun, dalam suasana tiada sebarang keperluan untuk melakukan demikian, dalam keadaan Muslim menumpukan ibadah di masjid-masjid, maka sudah pasti iftar di rumah ibadah agama lain menimbulkan banyak persoalan.

Lebih menjadi persoalan jika anjuran itu bersifat politik kepartian yang seakan kelihatan menggunakan program agama untuk politik.

Hakikatnya, dalam negara kita, menggunakan jenama agama untuk kempen politik kepartian telah berlaku begitu berleluasa.

Sejak sekian lama begitu ramai tokoh dan parti politik melakukannya. Bahkan ada yang menjadikan parti politik seakan agama itu sendiri.

Diubah fatwa-fatwa agama berdasarkan kepada ‘angin’ dalam parti. Maka, apa yang dahulu haram, kini dihalalkan walaupun keadaan masih macam zaman ia diharamkan.

Dahulu haram, kini halal, walaupun hal itu masih yang dahulu.

Demikianlah bahayanya permainan politik kepartian menggunakan agama. Ia satu persendaan kepada agama sebenarnya.

Orang-orang politik itu tanpa mengira parti - walaupun bukan semua - seringkali tindakan mereka mempunyai rencana yang berbeza daripada apa yang kita lihat.

Ada yang menghulurkan ‘sumbangan ikhlas’ untuk berbuka puasa, tetapi tujuannya: undi. Jika kita beritahu namanya tidak disebutkan dalam majlis tersebut, tentu dia akan menarik diri.

Demikan dalam banyak keadaan majlis-majlis yang bersifat keagamaan yang membabitkan orang politik. Maka, jika mereka diberikan lesen besar untuk menggunakan agama sebagai bahan kempen, kepercayaan manusia kepada Islam akan tergugat.

Sebab itu Saidina Ali apabila mendengar slogan agama yang dilaungkan oleh pihak pelampau politik dalam sejarah Umat Islam - iaitu Khawarij - beliau berkata: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil". (Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim).

Selagi kita tidak berjaya menghentikan agama dijadikan alat atau hiasan politik kepartian, selagi itulah kita tidak akan berhenti membahaskan isu-isu yang seperti ini.

Padahal, isu itu - jika dilihat dari segi ilmiah dan akademiknya - mempunyai perbincangan yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan