Kenyataan Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah yang menafikan parti itu tidak pernah melabelkan Umno sebagai kafir ibarat 'menutup bangkai gajah dengan kopiah', kata Senator Husam Musa.
Naib presiden Amanah itu berkata, pemimpin PAS tersebut mungkin sudah lupa bagaimana amanat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sebelum ini menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
"Usahkan perkara ini, ucapan yang dibuat dengan menghentam teruk Umno satu ketika dahulu pun dia sudah lupa," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian Online, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohd Amar yang menafikan dakwaan PAS melabelkan Umno sebagai kafir sebelum ini.
Sebagai rekod isu tersebut muncul selepas Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad menegaskan PAS perlu menarik semula dan memohon maaf kerana melabelkan Umno sebagai kafir ketika kedua-dua parti itu dalam proses bekerjasama.
Sementara itu timbalan menteri besar Kelantan tersebut juga menyatakan tidak berbangkit soal meminta maaf susulan kerjasama tersebut, malah Dr Mahathir sendiri tidak pernah memohon maaf terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim selepas bekerjasama dalam PH.
Sementara itu, Husam yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkata, pernah berlaku satu ketika dahulu seorang imam di Terengganu yang hampir mengangkat takbir, diusung keluar gara-gara orang Umno.
"Kemudian, imam daripada sebuah parti telah menggantikan individu tersebut bagi menunaikan solat berjemaah.
“Bukan itu sahaja, pengasingan kenduri kahwin dan tanah perkuburan juga berlaku di Terengganu satu masa dahulu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan