BERNAMA
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menegur tindakan segelintir pihak termasuk pemimpin yang bersaing mempamerkan ego masing-masing sehingga sanggup merendahkan nilai diri demi mencari pengaruh dan mendapatkan sokongan politik.
Baginda bertitah suhu politik di dalam negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hari semakin dipanaskan dan dilakukan oleh pemimpin politik sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang.
“Sifat-sifat kaduk menaiki junjung dan sifat-sifat memilih lebih mahu berputih tulang setelah berputih mata oleh sebahagian pemimpin politik telah meningkatkan suhu permusuhan dalam kalangan rakyat.
“Perbuatan mengata dulang paku serpih melalui persaingan melukis wajah lebih hodoh lawan politik, semakin menambahkan mendung di langit negara,” titah baginda pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak 1441H/2019 di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Dikenali sebagai raja yang sering ‘menjentik’ pemimpin jika ada yang tidak kena Sultan Nazrin bertitah, setelah 62 tahun negara mencapai kemerdekaan, suara menyemai kebencian antara kaum dan agama semakin diucapkan.
Titah baginda pelbagai provokasi secara keterlaluan dilakukan antaranya meletak patung dan melemparkan daging khinzir di dalam masjid, meletak kepala lembu di kuil Hindu, menyebarkan bahan diayah, fitnah dan penghinaan melalui media sosial termasuk penghinaan terhadap agama Islam serta Nabi Muhammad.
“Setiap ungkapan dan setiap perbuatan sedemikian, sebenarnya merupakan pemasangan satu bom jangka yang menantikan masa untuk meletup.
“Sedarilah! Serpihan daripada letupan bom jangka ini tidak mengenal mangsa, malah anak cucu serta kaum kerabat pemasang bom jangka, turut terdedah kepada akibat daripada perbuatan-perbuatan berfikiran singkat,” titah Sultan Nazrin.
Titah baginda kebenaran fakta dan kesahihan berita kini tidak dipentingkan, sebaliknya emosi semakin mempengaruhi diri termasuk dalam kalangan terpelajar sehingga minda rakyat semakin diracuni dan menjadi terlalu taasub serta berfikiran tertutup.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah setiap insiden daripada kejadian jenayah di jalan raya kepada tindakan disiplin seorang guru di sekolah atau majikan di pejabat, warna baju pemimpin, kesilapan mengibarkan bendera, perubahan kurikulum pengajian dilihat dan ditafsirkan secara negatif, menurut dimensi kaum dan agama
“Keadaan ini amat tidak sihat, meletakkan negara berada dalam zon bahaya yang mencemaskan. Majoriti rakyat di negara ini cintakan keamanan. Mereka semakin resah, semakin gelisah, bimbang dan takut,” titah Sultan Perak.
Baginda bertitah suhu panas itu wajib segera diturunkan dan perbuatan menyalakan api perkauman, meniupkan bara permusuhan antara agama wajib dihentikan tanpa berlengah.
Titah baginda undang-undang wajib didaulatkan supaya keselamatan nyawa dan harta benda rakyat yang tidak berdosa terjamin serta dilindungi.
Mengakhiri titah, Sultan Nazrin turut memanjatkan doa agar Malaysia diamanahkan dengan pimpinan yang amanah, ikhlas, membawa suara kesederhanaan, suara munasabah, suara rasional dan suara persaudaraan agar rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini hidup rukun serta harmoni.
—BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan