Bukan Azilah saja bersuara lepas Najib tiada kuasa - Deepak

Malaysiakini
Bagi saudagar permaidani Deepak Jaikishan, akuan berkanun (SD) yang membabitkan Najib Razak dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu mengandungi kebenaran.

Menurutnya Azilah Hadri bukanlah orang pertama yang membuat pendedahan mengenai bekas perdana menteri tersebut selepas pilihan raya umum yang lalu.

Deepak, yang pernah menjadi rakan rapat Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, berkata sebelum ini, orang-orang berkenaan takut terhadap tindak balas kepada diri mereka.

Deepak mengulas dakwaan Najib bahawa SD itu yang menuduhnya mengarahkan pembunuhan warga Mongolia tersebut merupakan suatu plot politik untuk mengunci mulutnya.

"Dia [Azilah] bukan satu-satunya orang yang telah keluar [untuk mendedahkan isu-isu] selepas Najib tidak lagi menjadi perdana menteri.

"Ramai pegawai kanan kerajaan telah memberi keterangan di mahkamah mengenai penglibatan Najib dalam rasuah, SRC (International) dan (kes) 1MDB.

"Kami tidak bercakap tentang satu atau dua orang. Ramai yang keluar untuk mendedahkan maklumat... (termasuk bekas ketua audit negara) Ambrin Buang," katanya kepada Malaysiakini dalam satu wawancara.

Ahli perniagaan tersebut berkata seperti mereka, Azilah yang juga bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis, sebelum ini tidak berpeluang untuk mendedahkan kebenaran yang dikatakan itu.

Pada tahun 2015, Mahkamah Persekutuan mengembalikan semula sabitan kesalahan membunuh dan hukuman mati terhadap Azilah dan seorang lagi bekas anggota UTK, Sirul Azhar Umar.

Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia selepas Mahkamah Rayuan membebaskan kedua-dua tertuduh pada 2013.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Azilah, yang sedang menunggu hukuman mati di penjara Kajang, telah memfailkan SD berkaitan permohonannya untuk perbicaraan semula kes dan semakan penghakiman Mahkamah Persekutuan.

"Ketika Najib menjadi PM dan Azilah dijatuhkan hukuman mati, dia menanggung akibat perkara ini. Dia tidak boleh menentang PM," kata Deepak.

"Sirul agak lebih bijak, dia lari ke Australia kerana dia tahu Australia mempunyai undang-undang tertentu terhadap hukuman mati tetapi dalam kes Azilah, dia tidak fikir begitu jauh.

"Tetapi sekarang dia perlu membersihkan namanya. Ia bukan hanya mengenai Azilah melakukan pembunuhan, tujuh keturunan Azilah berikutnya akan menanggung beban hebat yang dia telah membunuh seseorang, stigma kepada keluarganya," katanya.

'Dia hamil anak Najib'

Deepak juga membuat tuduhan mengejutkan bahawa Najib mengarahkan pembunuhan tersebut kerana Altantuya sedang mengandung anaknya.

Ditanya bagaimana dia tahu mengenai perkara ini, saudagar itu berkata Rosmah telah memaklumkan kepadanya.

Apabila dimaklumkan bahawa Sirul sebelum ini pernah menyatakan Altantuya tidak mengandung, manakala Azilah pula tidak menyebutkan hal itu dalam SD, Deepak membayangkan Sirul tidak boleh dipercayai.

"Sirul telah membuat pelbagai kenyataan kepada perdana menteri yang berbeza, dan pihak yang berlainan yang melobi kepadanya.

"Saya tidak fikir anda boleh mengambil bulat-bulat seluruh perkataan Sirul. Anda perlu pergi mencari orang yang konsisten mengenainya, orang yang tahu ...," katanya.

Ditanya mengapa tuduhan Azilah perlu dipercayai manakala Deepak mendakwa Sirul pula tidak boleh dipercayai, saudagar permaidani itu menegaskan bahawa Najib mengarahkan pembunuhan tersebut kerana Altantuya sedang hamil.

"Mari kita letakkan segalanya ke tepi. Bolehkah anda memberi saya satu alasan yang waras kenapa Najib mengarahkan pembunuhan tersebut? "

"Najib betul, apabila dia berkata 'Saya ada ramai musuh politik, mengapa saya tidak membunuh mereka'. Mereka tidak mengandung anaknya. Semudah itu saja," tambahnya.

Deepak juga mendakwa bahawa Najib mengarahkan pembunuhan itu kerana Rosmah.

"Rosmah membuat kekecohan di dalam rumah apabila dia tahu mengenai Altantuya.

"Saya fikir ia tiga atau empat hari sebelum pembunuhan itu yang dia dapat tahu hubungan Altantuya dengan Najib dan bahawasanya terdapat seorang anak," dakwanya.

Najib: Ini semua karut

Dalam penjelasan segera kepada Malaysiakini, bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan dakwaan Deepak sebagai "karut."

"Adakah anda menjangkakan orang ini cuma akan membocorkan 'sedikit maklumat itu' hanya sekarang selepas lebih dari 13 tahun dan bertahun-tahun setelah dia menulis pelbagai buku?" Soal bekas perdana menteri.

Najib telah berulang kali mempertahankan beliau tidak pernah bertemu dengan Altantuya. Walau bagaimanapun, Azilah dalam SD yang dibuatnya mendakwa bekas perdana menteri dan rakan rapatnya bertemu Altantuya di London.

Siang tadi, Najib melakukan sumpah laknat iaitu sumpah memohon kepada Allah untuk mengutuk orang yang salah.

Ini dibuat beliau untuk menafikan tuduhan dalam SD Azilah dan menegaskan semula kenyataan bahawa dirinya tidak pernah bertemu warga Mongolia itu.

Bagaimanapun, Deepak menganggap tindakan sumpah laknat itu sekadar cubaan untuk melakukan manipulasi.

"Saya terperanjat kerana dia [Najib] berkata dia tidak pernah melakukannya dan dia akan dilaknat jika dia berbohong. Tetapi dia sudah pun terlaknat, dia tidak boleh dilaknat lagi.

"Dia telah dilaknat yang paling teruk sekali oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Bukankah jelas kepadanya bahawa dia tidak perlu dilaknat lagi?

"Dia telah sampai ke satu tahap bahawa dia mahu datang ke masjid, ke rumah tuhan, dan menipu ...

"Hanya kerana dia mahu sejarah membuktikan dia tidak bersalah, dengan harapan bahawa suatu hari, parti dan rakyatnya akan berkuasa (semula). Terdapat cukup bukti untuk mengenakan pertuduhan terhadapnya, dia mesti dikenakan tuduhan," katanya.

'Saya derita kerana perbuatannya'

Deepak juga mendakwa menimbulkan isu ini untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan.

"Saya telah berjanji tidak kira apa sekali pun, walaupun Najib memusnahkan saya, saya akan pastikan dia akan mendapat keadilannya, kita hampir mencapainya," katanya.

Ditanya apa yang telah berubah berbanding pada waktu dia dikatakan memainkan peranan penting dalam konspirasi yang didakwa untuk menutup pembunuhan tersebut, Deepak menjawab: "Saya sudah banyak menderita kerana perbuatan saya."

"Sebelum kes Altantuya, saya sudah pun senang, perniagaan saya bagus. Tetapi kerana kes Altantuya semuanya menjadi buruk, sebahagian daripada sumpahan laknat itu terkena saya juga.

"Saya tahu satu atau dua individu, saya tidak mahu sebut nama mereka, tetapi mereka dalam keadaan sugul kerana terlibat dalam hal Altantuya.

"Seorang sangat sakit. Hal Altantuya ini perlu diselesaikan. Kita perlu memberi keadilan kepadanya. Ini kerana anak itu, anak itu tidak bersalah, "katanya.

Sebelum ini, Deepak berkata Najib dan Rosmah terlibat dengannya untuk meyakinkan penyiasat persendirian, mendiang P Balasubramaniam ketika itu untuk menarik balik SD dibuatnya yang mengatakan bekas perdana menteri itu mempunyai hubungan dengan Altantuya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan