PN untuk Pelawak Nasional?

DR. ADHAM, PELAWAK YANG TIDAK DIPERLUKAN DALAM KERAJAAN PN
Shahbudin Husin
Tidak sampai sebulan kerajaan Perikatan Nasional atau PN ini wujud melalui pintu belakang, sudah muncul seorang menterinya yang layak digelar pelawak.

Beliau tidak lain ialah Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan yang baru dilantik yang berasal dari Johor.

Sejak semalam, kenyataan penuh yakinnya ketika muncul secara langsung di kaca tv bahawa air suam mampu membunuh virus Covid-19 telah menjadi lawak jenaka yang berjaya membuatkan seluruh negara ketawa dibuatnya.

Menurut beliau, dengan meminum air suam, jangkitan virus Covid-19 dalam badan akan dapat dihalang.

“Virus ini tak suka panas…Virus ini akan dinyahkan, disingkir di perut.

“Kalau masuk perut ada asid, dia kalah.

“Yang penting kita mesti singkirkan virus ini dari kerongkong sebelum dia boleh masuk ke paru-paru. Virus ini dia suka paru-paru bawah,” kata Dr. Adham dalam siaran tv itu.

Entah di mana beliau memperolehi petua tersebut tidaklah diketahui, tetapi semua pakar-pakar perubatan, doktor dan malah Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sendiri kemudiannya menolak kebenaran apa yang disebutnya itu.

Semuanya mengatakan tiada bukti bahawa meminum air suam boleh membunuh virus dalam badan.

Dakwaan Dr. Adham itu juga turut disangkal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.

Di media sosial pula, Dr, Adham sarat ditimpa kecaman dengan pelbagai sindiran sama ada dalam bentuk kata-kata atau video.

Ramai yang berkata, kalau minum air suam saja boleh membunuh virus Covid-19 yang telah membunuh 8 mangsa setakat ini, tidak perlulah dunia menunggu vaksinnya yang masih lagi dalam kajian ketika ini.

Minum sajalah air suam banyak-banyak, malah mungkin lebih cepat membunuh virus itu jika air yang diminum itu sedang panas menggelegak.

Yang nyata, petua beliau itu dilihat lawak jenaka baru dalam kerajaan PN sehingga berikutan itu, sepanjang hari ini tidak ternampak langsung kelibatnya muncul memberi sebarang kenyataan berkataan Covid-19.

Ramai juga berkata, dengan munculnya pelawak bernama Dr. Adham ini, bellau telah berjaya mengambil alih tempat Ahmad Maslan yang sebelum ini dikenali dengan lawak jenaka berkaitan GST.

Apa pun, dengan dakwaan Dr. Adham berkaitan air suam itu yang disanggah oleh Ketua Pengarah Kesihatan di Kementerian Kesihatan sendiri, nampak sangat beliau tidak layak duduk sebagai Menteri Kesihatan.

Bukan saja kata-kata, malah gaya dan penampilannya juga langsung tidak meyakinkan orangramai.

Dengan itu, sebelum lebih banyak kata-kata atau petuanya yang lain menjadi bahan ketawa, adalah lebih baik Dr. Adham segera meletakkan jawatan dan berhenti sebagai Menteri Kesihatan, walaupun beliau mungkin sayang untuk berbuat demikian.

Sekali beliau dilabel pelawak, akan selamanya gelaran itu melekat pada dirinya.

Sebelum lebih banyak lagi lawak jenaka tidak kelakar ditampilkannya atas jawatan kabinet itu dan akhirnya PN serta Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri turut terpalit sama diketawakan rakyat jelata, berundur adalah pilihan terbaik bagi Dr. Adham.

Apa guna jadi menteri kalau hari-hari dijadikan bahan ketawa ramai kerana jawatan menteri bukan untuk membuat lawak jenaka.

Lainlah kalau jadi pelawak jenaka sebenar yang memang kerjanya membuat orang ketawa. (ShahbudinHusin 21/03/2020)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan