16 hari menunggu Izrail datang

N Faizal Ghazali

"Ya Allah ya Tuhanku, sebelum aku tidur ini, Kau ampunkanlah segala dosaku, kelemahan-kelemahanku, kegagalanku menunaikan tanggungjawab dalam menunaikan amanah.

"Kalau Engkau rasa hidupku ini lebih baik dilanjutkan, Kau lanjutkanlah dan berikanlah kesihatan."

Demikian doa yang sering dilafaz oleh Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad, sepanjang 16 hari ditahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, apabila dijangkiti Covid-19.

Berkongsi pengalaman bersama Malaysiakini, Mohamad Shukri berkata, selama tempoh itu beliau ternanti-nanti kehadiran malaikat Izrail selepas mendengar berita ramai orang meninggal dunia akibat Covid-19.

"Bagi saya, rasa macam tak ada apa-apa... rasa macam demam biasa, tapi apabila dah tahu kena Covid-19 ini ramai yang mati, jadi kita kena bersedialah menghadapi mati itu.

"Jadi siang malam selama 16 hari saya tertunggu macam mana nak jumpa Izrail, macam mana agaknya pengalaman nak jumpa Izrail nanti, dan saya selalu berdoa. Itulah doa saya siang malam.

"Saya duduk bersedia macam mana agaknya apabila Izrail datang, sebab kita tak ada pengalaman. Saya dengar berita pesakit yang masuk tadi dah meninggal dunia, jadi kita pun kena bersedialah," katanya.

Menceritakan lanjut pengalamannya itu, Mohamad Shukri berkata, pada 12 Mac lalu beliau pulang dari Sarawak selepas membentangkan kertas kerja di seminar majlis fatwa negeri itu.

Keputusan jam 10 malam

Keesokan harinya, beliau hadir pula di Masjid Muhammadi untuk solat Jumaat dan mengimamkan solat sunat hajat yang diadakan.

Bagaimanapun, katanya, pada malam itu beliau mula berasa tak sedap badan dan mula rasa sengal-sengal pada sendi.

Keesokan harinya, kata Mohamad Shukri, beliau berkunjung ke klinik untuk menjalani pemeriksaan namun apabila diperiksa, doktor panel tidak mengesan sebarang deman lalu dibekalkan ubat Panadol.

"Saya makan Panadol, dan malam itu saya rasa baik. Esoknya (Ahad) saya pergi bekerja dan mempengerusikan mesyuarat dalaman, selepas itu badan lemah dan rasa sengal semakin menjadi-jadi.

"Saya pergi ke klinik lagi sekali, doktor bagi suntikan. Doktor kata mungkin ada kekurangan vitamin apa-apa.

"Selepas balik dari klinik rasa dah baik dah. Pagi esoknya pula saya mula rasa tak boleh tahan, saya telefon seorang kawan, seorang profesor di HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) tanya untuk buat saringan.

"Jadi, kawan saya itu tolong aturkan untuk temujanji di HRPZ II. Jam 8.30 pagi saya pergi disambut oleh timbalan pengarah hospital dan dibawa ke Wad 10 untuk diperiksa," jelasnya.

Apabila dimasukkan ke wad pada hari pertama itu, katanya, saringan bagi Covid-19 dibuat dan keputusan diperolehi pada jam 10 malam.

Menurut Mohamad Shukri, ketika itu tiada apa-apa perubahan dirasai - kecuali badannya masih berasa sengal-sengal - namun beliau dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Kira-kira jam 10 malam, katanya, keputusan ujian kesihatannya pun diperolehi. Beliau disahkan positif Covid-19.

Doktor kuat baca Quran

"Apabila mereka kata positif saya tunggu sajalah (rawatan), esoknya saya jalani x-ray. Ada dalam empat kali kena x-ray sepanjang di hospital.

"Kemudian masuk hari ke-10, saya dibenarkan keluar dari ICU dan masuk ke wad biasa, tetapi dikuarantin dua hari.

"Selepas itu doktor bagitau saya kena masuk wad ICU semula. Saya tanya kenapa masuk balik? Mereka kata ada lagi hal (kuman) lain dijumpai, tapi bukan lagi Covid-19, jadi pergi lagi ke wad ICU.

"Kena x-ray lagi, rupanya sakit yang saya hidapi sekian lama. Saya sensitif dan mudah batuk, rupanya sebab yang itu. Tapi tak ada kena mengena dengan Covid-19.

"Mereka kesan yang itu dan dirawat tiga hari sehingga negatif, ini jangkitan dalam paru-paru. Apabila dah baik, saya dikuarantin lagi, hari ke-14 dikuaranti di bilik CCU sementara tunggu untuk discaj," katanya.

Tambah Mohamad Shukri lagi, sukar untuk beliau jelaskan mengenai kesan wabak Covid-19 yang menjangkitinya kerana tidak mengalami keadaan yang teruk.

Cuma katanya, ketika dirawat di hospital itu juga beliau diserang sakit gout yang memang dihidapinya sebelum ini dan menyebabkan rasa sakit di bahagian lutut.

"Apa yang jadi masalah sikit ialah penyakit lama saya iaitu gout. Apabila kita lemah duduk dalam wad, gout pula menyerang, itu yang ditahan lama dalam wad lama.

"Sebab sakit lutut, sampai hari ini saya solat atas kerusi lagi," katanya.

Justeru, kata Mohamad Shukri, jika ada orang bertanya mengenai sakitnya Covid-19, beliau tidak dapat memberikan jawapan yang banyak kerana tidak tahu bagaimana perlu dijelaskan.

Katanya, beliau tidak berasa sebarang perubahan kecuali rasa sengal pada sendiri. Dan itu juga, katanya, hilang selepas mengambil ubat.

"Saya tak demam, batuk pun tak ada, dan sesak nafas pun tak ada," katanya.

Sementara itu Mohamad Shukri turut memberikan nasihat kepada pesakit Covid-19 dan orang ramai supaya meningkatkan kekuatan rohaniah dalam menghadapi wabak yang sedang melanda di seluruh dunia kini.

"Bersama saya hari itu dalam wad ada dua orang doktor pakar yang kena Covid-19. Mereka steady saja, saya pula rasa lemah. Sebenarnya Covid-19 ini atau sakit apa pun, kekuatan itu bergantung pada kita.

"Kalau kita rasa lemah, rasa tertekan, itu sememangnyalah. Tetapi saya tengok dua doktor pakar yang duduk sekali dengan saya itu, hebat. Sudah sembahyang Zuhur, baca Yasin. Selepas Asar, baca Yasin, lepas Magrib baca Yasin.

"Cuma saya duduk terkebil-kebil sebab saya agak keletihan.

"Dua orang doktor pakar itu memang kuat baca al-Quran, ini saya fikir selain kita dapat rawatan secara fizikal, kekuatan rohaniah perlu tinggi. Kerana kebergantungan kita adalah kepada tuhan," katanya.

Sebelum menamatkan kisah pengalamannya, Mohamad Shukri mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga barisan hadapan HRPZ II yang menunjukkan komitmen, etika dan disiplin tinggi.

"Saya cukup berpuas hati dengan SOP (prosedur standart operasi) kakitangan HRPZ II yang bersungguh-sungguh ketika menjalankan tugas. Kawalan begitu ketat dan rapi, hanya petugas tertentu sahaja dibenarkan berurusan.

"Tak ada sesiapa (orang luar) boleh tengok, saya terpisah dengan keluarga selama 16 hari. Pihak hospital jaga kerahsiaan cukup teliti, proses pindah wad pun dibuat dengan rapi sehingga tiada orang tahu," katanya hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan