Azmin susahkan KKM putuskan rantaian jangkitan Covid-19

ARIF ATAN
Rata-rata masyarakat negara ini menganggap keputusan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membenarkan tiga sektor ekonomi beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Ramai menganggap sia-sia ‘berkurung’ di dalam rumah sepanjang PKP sejak 18 Mac lalu apabila Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu membenarkan sektor pembinaan dan industri berkaitan, elektrikal dan kejuruteraan serta industri mesin dan peralatan beroperasi.

“Orang yang patut ditangkap dan diluku kepala selepas PKP ini habis selain pesakit 136 adalah Azmin Ali. Menyusahkan orang sahaja,” kecam pengguna Facebook Benz Ali.

Alasan Azmin kononnya keputusan kementeriannya itu memanfaatkan dua juta pekerja rakyat tempatan juga dipertikai orang ramai.

Bahkan, bekas pemimpin PKR yang mengkhianati kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu dilihat tidak mengambil iktibar daripada masalah besar yang sedang melanda Singapura.

Di negara seberang tambak itu, pekerja asing terpaksa ditahan di asrama yang tidur berhimpit kerana berlaku peningkatan Covid-19 dengan 386 kes direkodkan setakat 13 April lalu.

Kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan 2,918 kes jangkitan pandemik itu yang disahkan di Singapura membabitkan asrama pekerja asing.

Kelmarin, negara terkaya di Asia Tenggara itu terpaksa mengerah doktor dan jururawat mereka ke asrama-asrama pekerja asing untuk tujuan saringan Covid-19.

Minggu lalu, Singapura sudah menghantar sehingga lapan pasukan petugas kesihatan. Namun, jumlah itu tidak mencukupi apabila terpaksa menambah sehingga 18 pasukan lagi.

“Sebab apa kena hantar? Sebab kes baru di Singapura bertambah daripada kluster pekerja asing dan dianggap kritikal,” tegas pengguna Facebook, Ammar Harith.

Secara sindiran, beliau menganggap kerajaan Malaysia pada masa ini amat prihatin sehingga tidak sanggup membiarkan dua juta pekerja hilang sumber pendapatan berbanding kehilangan nyawa.

Media sosial juga dibanjiri dengan kecaman terhadap Azmin sebagai menteri dari ‘pintu belakang’ apabila dilihat mengutamakan kepentingan korporat berbanding nyawa rakyat.

Ramai turut menganggap Azmin semasa menjadi Menteri Ekonomi era kerajaan PH tidak berfungsi tetapi ketika kerajaan ‘tebuk atap’ pula sudah terang lagi bersuluh tidak berguna.

‘Makhluk halus’

Lanjut melihat kepada situasi genting Singapura memerangi jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing, pemerintah republik itu terpaksa memindahkan ribuan pekerja ke blok pangsapuri kosong dan berek tentera.

Sebabnya, virus berbahaya itu sedang giat menyerang seperti dibuktikan dengan peningkatan kes mendadak dalam kalangan pemegang permit kerja asing dan pekerja atau penghuni asrama pekerja asing.

Bahkan, seramai 1,300 pekerja asing yang ‘sihat’ sejak 13 April lalu dipindahkan secara berperingkat ke tiga buah kapal yang dikenali sebagai ‘hotel terapung’ yang biasanya digunakan pekerja luar pesisir.

Mengikut statistik rasmi kerajaan Singapura, terdapat kira-kira 1.4 juta pekerja asing di republik yang mempunyai kira-kira 5.8 juta penduduk itu.

Oleh sebab itu, keputusan Azmin membenarkan tiga sektor ekonomi kembali beroperasi dengan sebahagian besar pekerjanya terdiri daripada warga asing dan lebih 100 kes baru positif Covid-19 setiap hari ibarat bom jangka kepada penularan wabak di luar kawalan.

Walhal, PKP fasa ketiga sepatutnya tempoh memperketatkan lagi pergerakan penduduk selepas kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif kepada semua segmen masyarakat termasuk golongan majikan dan pihak industri.

Malaysia bertuah apabila ada warganya dari lapangan perubatan diiktiraf setaraf dengan dua lagi tokoh, Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diiktiraf sebagai ‘wajah paling dipercayai’ ketika negara dan dunia diserang pandemik Covid-19.

Pada ketika beliau merendah diri dengan mengatakan apa yang penting Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerja sebagai satu pasukan untuk negara, Azmin pula dilihat bertindak sebaliknya.

MITI di bawah kendaliannya dibimbangi tergopoh-gapah mengejar keuntungan yang sementara tanpa mengambil perhatian serius apa lagi bekerjasama dengan KMM ketika peperangan dengan ‘makhluk halus’ Covid-19 masih belum reda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan