Bekas menteri Umno balun Azmin Ali

'MITI kini seolah-olah sebuah super ministry'
Shahrir Samad


Pagi tadi saya terbaca soal jawab untuk menerangkan bagaimana kerajaan akan mengembalikan kegiatan ekonomi secara terancang mengikut sektor dan bidang tertentu.

Semasa perancangan kerajaan ini mula-mula diumumkan, kedai gunting telah dibenarkan kembali beroperasi, tetapi ia dibantah hebat dalam media sosial.

Bantahan turut datang daripada persatuan perniagaan tersebut.

Sebenarnya, pemilihan kedai gunting rambut dilakukan kerana mengikut pemantauan terhadap media sosial, ramai pihak yang mengeluh kerana kedai gunting telah tutup.

Hanya kerajaan tidak dapat menilai kualiti perbualan media sosial itu. Apa yang pasti hanyalah kuantiti perbualan itu.

Kerana itu, teknologi perlu juga kepada analisis manusia dan tidak diterima bulat-bulat segala hasil penggunaan teknologi.

Kemampuan manusia berfikir dan menganalisis data daripada penggunaan teknologi tetap terbukti.

Suka bahasa bombastik

Oleh itu, saya tidak terperanjat apabila berlakunya 'U-turn' atau pembatalan keputusan yang telah dibuat oleh MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) sebagai kementerian yang diumumkan bertanggungjawab dalam strategi memulakan kegiatan ekonomi negara.

Tapi MITI nak terlibat dengan tukang gunting?

Berbalik kepada apa yang telah saya baca dalam akhbar The Star pagi tadi, saya memang hairan mengapa perniagaan/perusahaan yang mendapat kebenaran daripada kementerian lain masih perlu mendapatkan kelulusan MITI.

Mengapa harus MITI terlibat setelah sesebuah perniagaan/perusahaan mendapat kelulusan kementerian yang relevan bagi perniagaan/perusahaan terbabit?

Bukankah ini menimbulkan pertindihan tanggungjawab mengumpul data, kerana MITI sepatutnya tertumpu kepada sektor industri dan eksport barangan pembuatan.

Mampukah MITI mengikut kepakaran serta keupayaan kementerian itu untuk mendaftar dan kemudian memantau kesemua perniagaan/perusahaan yang beribu-ribu memohon kelulusan untuk beroperasi?

Saya akui Azmin Ali ialah menteri kanan yang terkanan. Sungguhpun begitu, MITI tetap MITI juga. Peranan dan tanggungjawabnya tidak mampu diubah semenjak Azmin menjadi menterinya.

Sudahlah saya berasa lega kerana bukan Azmin yang mengadakan sidang media (harian) yang dikendalikan oleh Ismail Sabri Yaakob. Ianya kerana kecenderungan Azmin mengguna perkataan-perkataan besar atau bombastic words.

Dah baguslah tu. Tapi mengapa MITI hendak menguasai sektor-sektor ekonomi yang di luar bidang tanggungjawabnya sendiri?

Seolah-olah MITI pula sudah jadi sebuah "super ministry" di bawah seorang tokoh politik yang bombastic.

Kalau itu tujuannya, gabung sahajalah MITI dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Perusahaan Utama.

Dan letakkan dua menteri itu di bawah Azmin dalam satu "super-ministry"! Barulah jelas logiknya. Kalau tidak, ianya pelik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan