Amerika Syarikat menjadi negara paling teruk terjejas akibat koronavirus, sama ada dari segi bilangan kes yang direkodkan dan juga kematian. – Gambar EPA, 12 April, 2020.
BERIKUT adalah perkembangan terbaru dalam krisis koronavirus:
AS paling teruk terjejas
Amerika Syarikat (AS) menjadi negara paling teruk yang terjejas akibat koronavirus, sama ada dari segi bilangan kes yang direkodkan dan juga kematian.
Bilangan kematian di seluruh dunia
Lebih 107,000 orang telah meninggal di seluruh dunia akibat koronavirus di 193 negara dan wilayah, menurut AFP pada sekitar 1900 GMT Sabtu berdasarkan sumber rasmi.
Terdapat lebih 1.7 juta jangkitan yang dilaporkan, walaupun bilangan sebenar mungkin jauh lebih tinggi, kerana banyak negara hanya menguji kes yang paling serius.
AS kini mempunyai angka kematian tertinggi yang dicatatkan sebanyak 19,882 orang mengikut kiraan AFP.
Ia diikuti Itali dengan 19,468 kes, Sepanyol dengan 16,353 kes, Perancis sebanyak 13,832 kes dan Britain sebanyak 9,875 kes.
Kubur besar
Mayat mangsa yang tidak dituntut sedang dikebumikan di kubur besar yang tidak ditandai di Hart Island di New York, pihak berkuasa mengesahkan.
Pihak berkuasa menggunakan tapak itu selama lebih 150 tahun untuk menguburkan mayat yang tidak dituntut, individu tidak dikenali pasti dan penduduk yang keluarganya tidak mampu membiayai pengebumian.
The New York Times melaporkan sekitar 25 orang dikebumikan di sana dalam sehari. Sebelum wabak tercetus, ia hanya membabit 25 orang dalam tempoh seminggu.
Pengasingan diteruskan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran penarikan terlalu awal sekatan pengurungan akan mencetuskan kebangkitan semula penyakit yang berbahaya.
Iran longgar sekatan
Iran membenarkan perniagaan kecil di luar ibu negara dibuka semula, dan beberapa wilayah melaporkan peningkatan signifikan jumlah kereta di jalan raya ketika penduduk kembali bekerja.
Langkah itu menerima kritikan pakar perubatan.
India lanjut pengurungan
India mengumumkan lanjutan tempoh pengurungan di seluruh negara, menyaksikan rakyat di negara kedua terpadat di dunia itu terpaksai berkurung selama dua minggu lagi.
Sambutan Hari Easter
Perayaan Hari Easter di seluruh dunia bermula ketika berbilion orang terkurung di dalam bangunan, upacara tradisi dibatalkan dan gereja terbiar kosong.
Pope Francis akan menyampaikan mesej Hari Easter dari pengasingan di perpustakaan peribadinya.
Penerbangan digantung
Syarikat penerbangan terbesar Amerika Latin, kumpulan Brazil-Chile, LATAM, mengumumkan ia menggantung semua penerbangan antarabangsa sehingga Mei.
Apple dan Google bergabung
Google dan Apple mengumumkan bekerjasama untuk membuat inisiatif membangunkan alat telefon pintar koronavirus “penjejak kontak” yang berpotensi memberi isyarat kepada pengguna apabila mereka bertembung dengan individu yang dijangkiti. – AFP, 12 April, 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan