Najib Razak vs Azmin Ali pula

MALAYSIA DATELINE
Selepas Ahli Majlis Tertinggi Tan Sri Shahril Samad dan Ketua Pemuda, Asyraf Wajdi Dusuki, Penasihat Umno, Datuk Seri Najib Razak pula tampil menyerang Menteri Kanan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Najib tidak berpuashati dengan beberapa langkah yang dibuat Azmin melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang disifatkannya akan memberikan lebih banyak ruang untuk menggagalkan usaha memutuskan rangkaian penyebaran Covid-19.

Bagi beliau, pergerakan trafik ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ke-3 masih lagi menunjukkan berlakunya kesesakan yang teruk.

Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesesakan itu dialami di sekatan trafik polis yang ditugaskan untuk mengawal PKP.

“Adakah ini akan menambah kerumitan dan beban kepada pihak polis dan tentera”? soal Najib di Facebooknya.

Ini kerana, katanya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali menerima 12,360 permohonan dari syarikat-syarikat untuk beroperasi pada PKP fasa ke-3 ini.

“Katakanlah 50% dari 12,360 permohonan ini diluluskan dan katakanlah setiap syarikat yang dilulus ada 20 pekerja sahaja.

“Ini bermaksud 123,600 lagi pekerja yang akan diberikan pas,”kata Najib.

Jika itu berlaku, Najib berkata penambahan 123,600 buah kereta yang perlu diperiksa oleh pihak polis setiap hari.

Justeru, Najib mempersoalkan apakah langkah kerajaan untuk memastikan kesesakan di sekatan trafik tidak akan bertambah teruk.

“Dan adakah pusat perubatan pihak swasta kita mampu melakukan ujian Covid untuk 123,600 pekerja dalam tempoh baki 12 hari PKP fasa ke-3 ini?” soal Najib.

Sebelum ini, Azmin Ali berkata semua pekerja syarikat dalam sektor dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP tetapi diwajibkan menjalani saringan COVID-19 terlebih dahulu.

Saringan kesihatan itu hanya boleh dilakukan di lebih 3,000 klinik panel Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) seluruh negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan