USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
Ulama bincang panjang tentang hukum ambik upah ajar baca Quran. Ada yang kata tidak boleh sebab al-Quran adalah kalam Tuhan.
Apa saja berkaitan al-Quran tidak boleh dijual beli. Ajar al-Quran tidak boleh ambil upah. Perlu ajar percuma kerana Allah. Itu pandangan sebahagian ulama.
Ada yang kata boleh ambil upah kerana keperluan. Kalau tidak ada orang yang ajar baca Quran, tentu orang ramai tidak tahu baca Quran. Hal ini memudaratkan kehidupan beragama orang ramai.
Siapa nak ajar Quran kalau semua orang ada kerja masing-masing untuk sara hidup? Maka untuk pastikan ada orang yang fokus ajar Quran, boleh ambil upah. Supaya orang itu tidak sibuk buat kerja lain.
Dia boleh fokus ajar baca Quran dengan berkesan. Masa dia, tenaga, tempat, kebolehan, semua tu ada kos yang perlu dia tanggung. Dia juga ada keluarga untuk disara.
Sebagai imbalannya, boleh ambik upah ajar Quran. Situasi macam tu tak dikata jual agama. Itu keperluan apatah lagi pada zaman kini, semuanya memerlukan kos.
Untuk elak urusan agama terabai guru Quran dibayar gaji. Kini bukan saja guru Quran, tapi guru fiqh, tauhid, tafsir, hadith dibayar gaji. Mereka boleh fokus dgn kerja berkenaan dan agama berkembang. Hal ini termasuk urusan menjaga agama.
Situasi di atas tak dikata jual agama. Jika orang itu mengajar kerana nak dapat gaji pun tidak menjejaskan keikhlasannya kerana dia bekerja untuk mengembangkan agama.
Bahkan membayar gaji atau mengambil upah untuk mengajar pelbagai urusan agama sudah menjadi keperluan yang mendesak kerana urusan kehidupan yang semakin rencam dan bertambah.
Cuma kini ada orang guna agama untuk cari makan. Nama agama, urusan agama, amalan agama dibuat bukan kerana tanggungjawab kpd agama, tapi semata-mata nak cari makan.
Ada beza antara buat kerja agama kerana tanggungjawab dan buat kerja agama untuk cari makan. Buat kerana tanggungjawab bermaksud buat dengan baik dan bersistem. Buat kerana cari makan pula buat secara hentam keromo, bukan berpandukan sistem tapi berteraskan sentimen.
Buat solat tahajud, tayang dalam FB, letak no akaun bank, apa tujuannya kalau bukan nak cari makan dengan cara jual agama? Itu bukan buat kerana tanggungjawab tapi ambil kesempatan daripada sentimen beragama.
Kalau betul² nak ajar orang hayati agama, buka kelas mengajar orang ramai cara solat dgn betul. Kenakan yuran. Buat secara bersistem. Ada guru yg pakar, ada nota, ada jadual, ada ujian. Itu barulah cara betul nak mengajar agama.
Tak salah mengambil upah daripada kerja agama jika dilakukan dengan cara dan kaedah yang betul. Bukan semua ambil upah buat kerja agama dikira jual agama.
Itu satu hal. Pentaksub pun satu hal juga. Kamu pi taja program solat tahajud live tu apa hal? Mana datang ajaran taja solat tahajud ni? Mana datang ajaran taja baca doa?
Itulah kerja beli agama. Ustaz tu tukang jual, kamu tukang beli. Serupa saja kedua-dua pihak. Kekaguman kamu kpd ustaz itu menjadikan akal kamu hilang untuk berfikir dengan waras?
Inilah namanya kecanduan agama. Beragama tanpa berfikir. Kalau kamu ada wang lebihan, biayailah fakir miskin di sekeliling kamu. Bukan buat kerja tak masuk akal taja solat tahajud live atau taja doa.
Beragama perlu dibimbing oleh akal yang sihat. Beramal dgn agama bukan seperti ketagihan candu. Asalkan ada label agama, dibuat oleh ustaz, terus anggap itu urusan agama.
Agama bukan mengkhayalkan tetapi menyedarkan. Agama bukan membodohkan tetapi mencerdikkan. Agama bukan memperhambakan tetapi memerdekakan.
Beragama apa jika tenggelam dalam khayalan, kebodohan dan perhambaan? Jika ada agamawan yang mengajak beragama secara khayal dan bodoh, usahlah belajar agama daripada agamawan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan