Lagi menteri langgar garis panduan PKP

ARIF ATAN
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin didakwa melanggar garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Puluhan orang dilihat mengiringi bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketika meninjau kawasan banjir di Kampung Jawa, Klang semalam.

Kesemua mereka bagaimanapun dilihat mengenakan penutup mulut dan hidung tetapi tidak menjaga jarak sekurang-kurangnya satu meter seperti kerap diingatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam gambar yang tersebar sekurang-kurangnya terdapat 20 orang berada dalam rombongan Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu.

Kelmarin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan senarai aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok.

Antaranya, perarakan dan aktiviti sosial yang mengikut justifikasi dikeluarkan KKM antaranya adalah sukar untuk mengawal keadaan di mana terdapat ramai orang pada satu-satu masa dan kemungkinan pendedahan kepada titisan pernafasan.

Selain itu, aktiviti berkumpul ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19 juga dilihat mewujudkan kemungkinan kontak rapat dalam masa panjang serta berada dalam ruang rapat dalam tempoh yang lama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan