Bekas menteri industri utama Teresa Kok melontarkan persoalan mengenai projek pusat teknologi getah (RTC) bernilai RM100 juta di Jerantut, Pahang yang diumumkan dengan tergesa-gesa oleh pengrusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang baru, Ahmad Nazlan Idris, yang juga MP Jerantut dari Umno.
"Ahmad Nazlan baru sahaja dilantik sebagai pengerusi LGM selama satu bulan, tetapi beliau telah mendapat kelulusan untuk menggunakan dana awam sebanyak RM100 juta bagi membina projek raksaksa di dalam kawasan parlimennya.
"Keterburuan Pengerusi LGM mengumumkan projek ini membangkitkan banyak persoalan, kerana sesuatu cadangan dan kajian mestilah dilakukan pada tahap LGM sebelum projek dengan saiz raksaksa ini diluluskan oleh Lembaga.
"Di bawah Pentadbiran PH, Kementerian Kewangan dan kementerian saya pernah meletakkan prosedur yang ketat sebelum mana-mana projek besar diberi kelulusan. Ia biasanya akan memakan masa lebih daripada setahun.
"Saya pasti LGM tidak dapat menjalankan kesemua kajian yang diperlukan untuk menjustifikasi perbelanjaan RM100 juta bagi membina RTC dalam tempoh yang singkat ini. Jelas, segala prosedur fidusiari dan Kementerian Kewangan telah dicabuli dalam kes ini,” kata Kok dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata RTC yang dicadangkan di Jerantut itu merupakan projek baru di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN).
"Sebagai bekas menteri yang mengawalselia LGM, saya mesti menyatakan bahawa RTC di Jerantut ini adalah satu projek baru di bawah Kerajaan Perikatan Nasional, dan sejujur serta setuntasnya saya ingin bertanya atas alasan apakah ia perlu dibina, khususnya pada waktu di mana dana awam sepatutnya digunakan secara berhati-hati?" Soalnya.
Terdapat contoh projek lain yang "membazir dan tidak diperlukan" yang diluluskan oleh lembaga pengarah lantikan BN bertahun-tahun lalu dengan alasan skim pemprosesan dan model teknologi getah, katanya.
Jelas Kok lagi, ini termasuk projek oleh bekas pengerusi LGM dan MP Jasin, Ahmad Hamzah yang telah mengumumkan projek bernilai RM44 juta di kawasannya pada tahun 2010.
Projek berkenaan, dakwa Kok sejak itu telah menjadi "gajah putih yang tidak dapat diselamatkan" dan menelan belanja berjuta-juta ringgit melebihi kos asalnya.
"Projek ini masih belum siap sehingga ke hari ini," katanya.
Kok memberikan contoh lain seperti Stesen Mini Institut Penyelidikan Getah Malaysia (Rriminis) di seluruh Malaysia dan kompleks pemprosesan bersepadu getah (IPC) beberapa tahun lalu di Kota Tinggi, Johor, yang menurutnya telah menelan belanja lebih RM130 juta daripada dana kerajaan persekutuan dan dana rizab LGM.
Pembangunan IPC di Kota Tinggi juga masih belum selesai, katanya, dan projek ini masih memerlukan sumber awam kerana dana awam masih disalurkan kepadanya.
Ketika menjawat menteri industri utama, Kok berkata beliau telah mengarahkan penangguhan segera projek-projek baru selepas beliau diberi taklimat mengenai salah urus dana dan aset LGM oleh lembaga pengarah lantikan BN sebelumnya.
Kesusahan mendesak pekebun kecil getah
"Selain itu, lembaga yang dilantik oleh saya telah dapat menghentikan ketirisan dan melaksanakan pengurusan yang cermat dan hemat.
"Usaha ini telah berjaya menjimatkan pebih kurang RM50 juta bagi 20 bulan dalam bajet pengurusan tahunan," katanya.
Kok kemudian menyoal keperluan membina RTC bernilai RM100 juta di Jerantut, kerana beliau memaklumkan Malaysia sudah mempunyai beberapa pusat teknologi dan penyelidikan getah yang beroperasi sepenuhnya di Sungai Buloh serta Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di England dan di Kota Tinggi.
"Kesemua pusat ini menghasilkan kerja yang berkualiti dan dioperasi pada tahap optimal, malah menghadapi kelebihan kapasiti sekarang, maka sememangnya tidak wujud keperluan yang mendesak untuk membina pusat kajian yang lain pada waktu ini, khususnya dalam keadaan ekonomi sekarang.
"Adalah lebih penting bagi kerajaan untuk menyalurkan dana awam kepada rakyat yang menghadapi kesusahan yang mendesak, termasuk pekebun kecil getah," katanya.
Selain keadaan ekonomi negara sekarang, Malaysia masih berada dalam keadaan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat bagi membendung Covid-19, tambahnya.
Kok juga meminta penjelasan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai kelulusan projek bernilai berjuta-juta ringgit yang tidak penting di dalam kawasan pilihan raya yang diwakili MP Umno itu.
"Justeru, saya ingin meminta penjelasan Muhyiddin untuk menyatakan sama ada beliau sedar atau tidak bahawa projek RTC raksaksa ini akan dibina di dalam kawasan parlimen pengerusi LGM yang baru ini?" Soal Kok.
Beliau menegaskan pendirian tiada keperluan untuk RTC baru, sambil berkata sepanjang 18 bulan memikul tanggungjawab sebagai menteri industri utama Kok sangat mengagumi hasil kerja pasukan saintis pertanian di LGM yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya Zairossani Mohd Nor.
"Kita memang tidak perlu membina satu lagi RTC di Jerantut ataupun di mana-mana tempat sekarang, kecuali ia dibina atas sebab politik dan bukannya atas wujudnya keperluan.
"Adalah lebih baik bagi Ahmad Nazlan untuk menaik taraf kemudahan penyelidikan di Sg Buloh untuk menggalakkan kakitangan dan kepakarannya demi meningkatkan lebih inovasi baru," katanya.
LGM ada simpanan tetap RM1.5 bilion
Kok berkata sepanjang 18 bulan di kementerian itu, pihaknya telah meningkatkan operasi LGM, memotong perbelanjaan yang berlebihan dan membelanjakan dana dengan bijaksana, yang mengakibatkan LGM menjadi berdikari.
LGM tidak memerlukan dana dari Putrajaya ketika di bawah pentadbiran PH.
Menurutnya, LGM beroperasi dengan cekap terutama dalam menggunakan faedah bunga hasil simpanan tetap yang dimilikinya berjumlah RM1.5 bilion.
"Daripada kenyataan Ahmad Nazlan, saya bimbang terdapatnya golongan “burung nasar” (pemangsa) yang bertujuan untuk mengeringkan deposit tetap LGM.
"Penggunaan RM100 juta untuk menjalankan satu projek yang tidak diperlukan mungkin adalah langkah permulaan bagi golongan ini demi menjalankan agenda politik mereka yang sempit dan bukannya demi kepentingan rakyat," kata Kok.
Dengan menggunakan dana awam untuk projek mega di kawasannya sendiri, Nazlan telah menunjukkan kenapa orang ramai bimbang terhadap pelantikan politik yang tidak terkawal mengisi jawatan GLC dan entiti awam lain, katanya.
"Walaupun ekonomi negara tengah menuju ke arah krisis yang mendalam dan kemelesetan ekonomi, dan negara kita masih dalam keadaan separuh “lock down” disebabkan wabak Covid-19, Ahmad Nazlan kelihatan masih mampu mendapat persetujuan daripada Muhyiddin untuk meluluskan projek yang menelan perbelanjaan berjuta-juta ringgit yang memang tidak diperlukan di kawasan parlimennya, walhal kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya meletakkan keutamaan pengurusan pentadbiran mereka terhadap perkara utama yang lain," kata Kok.
Beliau berkata keadaan yang terjadi sekarang menunjukkan kewajaran kerajaan PH meminimumkan pelantikan ahli politik ke dalam GLC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan