Muhyiddin lebih baik berundur sebelum dihumban keluar

TAMRIN TUN GHAFAR

Bagi menghormati bulan Ramadhan ini saya telah bertekad untuk tidak membuat sebarang komen seperti yang lazim dilakukan.

Namun, dengan beberapa peristiwa dan kenyataan politik beberapa hari ini, tidak dapat tidak atau suka tidak suka saya terpanggil juga untuk memberi ulasan.

Walaupun ramai yang bersetuju namun tidak dapat dinafikan ada juga segelintir ‘pengampu-pengampu’ yang tidak senang dengan pandangan dan kritikan saya sama ada secara terang-terangan mahu pun secara sinis.

Kita perlu menegur dan bercakap benar jika mahu melihat negara kita terus maju, malah lebih maju dari negara lain yang sudah maju.

Perkara ini tidak mustahil; jika kita masih ingat kehebatan negara kita pada awal 1990 di bawah pimpinan Dr. Mahathir Mohamad ketika itu, negara kita disanjung tinggi sehingga digelar ‘The Asian Tiger’ oleh dunia.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan George Soros yang pernah mengkritik Dr. Mahathir ketika Asian Financial Crisis akhirnya memuji kehebatan dan kecekapan beliau menangani situasi tersebut dengan baik dan berkesan.

Begitu juga walaupun tidak disenangi oleh sembilan Raja-Raja Melayu, namun Dr. Mahathir memilih menyelamatkan negara dan rakyat dari terus ‘dibuli’ dan dalam masa yang sama berjaya menyelamatkan institusi Raja Berpelembagaan semasa krisis Perlembagaan dahulu.

Malangnya, masih ada di kalangan mereka yang marah dan menggangap Dr. Mahathir seorang ‘pembelot’.

Dr. Mahathir bukanlah maksum seperti Abdul Hadi Awang, beliau juga tidak lepas dari melakukan kesilapan.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, walaupun sudah menjangkau usia 93 tahun ketika itu namun parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada PKR, AMANAH, DAP dan Bersatu pada masa itu terpaksa memujuk Tun bagi mengepalai mereka bagi menumbangkan Umno-BN.

Lantaran keengganan kerajaan Najib Razak membenarkan penggunan nama dan simbol PH ketika itu, akhirnya mereka semua bersetuju meminjam nama dan simbol PKR.

Situasi sama ini hampir menjadi kenyataan apabila Pas di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Aziz pernah membenarkan DAP (yang kini dianggap oleh Hadi sebagai anti Melayu dan Islam) bertanding atas nama dan simbol Pas.

Tun telah dipilih sebagai Pengerusi Bersatu dan Muhyiddin pula sebagai Presidennya.

Mengikut Perlembagaan Bersatu, Pengerusi mempunyai kuasa yang lebih dari Presiden; sebagai contoh Presiden mesti terlebih dahulu mendapat persetujuan Pengerusi bagi segala apa yang hendak dilakukan, ini termasuk dalam pelantikan Setiausaha Agung parti.

Langkah Sheraton telah mengubah corak amalan politik negara apabila Muhyiddin sanggup melupakan perjanjian persefahaman antara empat parti gabungan PH yang mana beliau sendiri menandatanganinya.

Muhyiddin sanggup bekerjasama dengan Umno, Pas dan disokong pula oleh GPS Sarawak dan 10 bekas Ahli Parlimen PKR pimpinan Azmin Ali bagi menubuhkan kerajaan yang tidak dipilih rakyat.

Bagi mendapatkan jawatan Perdana Menteri, Muhyiddin selaku Pengerusi Bersatu Johor sanggup dengan mudah menyerahkan kerajaan Johor dari Bersatu kepada Umno.

Di Johor, wakil-wakil rakyat dari Bersatu sudah tidak lagi dihormati oleh Umno.

Rakyat Johor mula terasa telah DIPERALAT dan DITIPU oleh Muhyiddin dek kerana gilakan jawatan Perdana Menteri.

Mereka masih terbayang bagaimana benci dan janji Muhyiddin bahawa apa pun jadi tidak akan bersama Umno lagi; jika di Jepun terutama di zaman samurai dahulu demi menjaga maruah…, faham sajalah.

Jika Dewan Negeri Johor dibubarkan dan diadakan pilihan raya semula, Bersatu yang kini ada 11 kerusi Dewan Negeri akan hanya dapat tidak lebih empat kerusi sahaja.

Pada rakyat Johor khususnya mereka terlalu bosan dari terus dipermain-mainkan dan ditipu seolah-olah undi mereka pada Bersatu tidak dihormati.

Apa faedah menyokong Bersatu jika Muhyiddin yang kini sudah dapat apa yang diidamkan selama ini, maka beliau sendiri tidak pedulikan perasaan pengundi di sana.

Walaupun tidak boleh bertahan lama atas sebab tekanan politik dan barah tali perut sehingga ada yang menggelarkan beliau sebagai Perdana Menteri setengah hari (beliau perlu balik ke rumah setiap hari dan berehat selepas mengambil ubat-ubatan), namun yang penting bagi Muhyiddin ia terukir dalam sejarah negara bahawa beliau pernah menjadi Perdana Menteri walaupun tidak sampai setahun.

Inilah sikap mementingkan diri daripada menghormati suara dan kehendak rakyat yang telah menolak Umno dan Pas.

Memang benar apa yang dikatakan oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu: “Yang menang jadi pembangkang, yang kalah jadi kerajaan.”

Dalam politik tidak ada kawan dan lawan yang kekal – dulu Muhyiddin dan Azmin adalah ‘orang kepercayaan’ Tun Mahathir tapi demi kepentingan diri masing-masing, kedua-dua mereka sanggup menikam Tun dari belakang.

Lupakah kita peristiwa Muhyiddin ‘menikam’ Abdullah Badawi dan lupakah kita bagaimana Azmin ‘menikam’ Anwar serta Wan Azizah ekoran ‘Langkah Kajang’?

Kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini tidak ubah seperti nyawa di hujung pedang.

Ekoran kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, beberapa hari lalu, sudah ada laporan-laporan dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang ingin kepastian apakah PN pernah didaftarkan seperti Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, bila pula Azmin Ali dan sembilan Ahli Parlimen PKR mengisi Borang Keahlian Bersatu dan diluluskan pula oleh parti yang mana Tun bukan sahaja sebagai Pengerusi, bahkan telah diumumkan menang tanpa bertanding bagi penggal akan datang sedangkan Muhyiddin sebagai Presiden pula menghadapi tentangan?

Bagi menentukan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya itu tidak tergugat, beliau sanggup menjadi pak turut – kini tidak ubah seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) – siapa saja orang politik yang berjawatan tidak kira sama ada di Pusat mahu pun Negeri membuat ugutan, maka bagi menutup mulut, mereka akan diberi jawatan dalam Syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Muhyiddin selaku Pengerusi Bersatu Johor kini tidak mampu berbuat apa-apa terhadap Umno yang terang-terangan membuli Bersatu di peringkat negeri Johor walaupun Bersatu mempunyai 11 Kerusi Dewan Undangan Negeri dan majoriti Kerajaan PN hanya satu kerusi sahaja.

Difahamkan Kerajaan negeri Perak juga sedang bergolak di mana hampir kesemua Ketua-Ketua Bahagian Umno tidak senang dengan Menteri Besar mereka yang kebetulan pula penyokong kuat Muhyiddin.

Jika ini berlaku, Bersatu yang hanya mempunyai empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, termasuk tiga yang melompat, pasti akan tumbang.

Que sera sera – apa nak jadi, jadilah yang maha penting bagi Muhyiddin ialah jawatan Perdana Menteri saja.

Apakah benar RM250 bilion bagi menangani masalah yang dihadapi Makcik Kiah seperti yang pernah diumumkan dan disambut dengan titisan air mata gembira benar-benar mencapai sasaran atau satu lagi gula-gula yang dicampakan ke atas tanah untuk kutipan Makcik Kiah?

Rakyat tidak sabar menunggu bagi melihat sejauh mana kerajaan PN ini boleh bertahan.

Muhyiddin ada dua pilihan:

i. Bagi mengekalkan jawatan Perdana Menteri, tangguhkan lagi sidang Parlimen ATAU,

ii. Pilih jalan mana yang sesuai untuk keluar sebelum dihumban – pintu depan, belakang, tingkap atau bak kata Abdul Hadi, Duta Khas kepada Perdana Menteri bertaraf Menteri, ‘melalui’ tebuk atap’.

Bagi tujuan meraih simpati dan sokongan dan dalam masa yang sama menyalahkan Tun kerana meletak jawatan, nasihat ikhlas saya Hentikan drama atau mainan politik kononnya beliau tidak berminat hendak jadi Perdana Menteri.

‘YA Allah masukkan aku dari pintu yang benar dan keluarkan aku juga dari pintu yang benar’ – Amin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan