Pati – sasaran kebencian yang tersasar
S Arutchelvan
Pendatang tanpa izin (Pati) dengan erti yang lain adalah pendatang haram. Bahasa yang lebih lembut adalah “pekerja tanpa dokumen”. Seminggu dua ini media massa penuh dengan rasa kebencian terhadap pekerja migran dan pelarian. Beberapa insiden menyemarakkan dan mencetuskan kebencian ini.
Satu adalah bot masyarakat Rohingya yang dihalang dari memasuki kawasan perairan Malaysia dan kedua adalah insiden di Pasar Borong Selayang. Kedua-dua insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi negatif di kalangan netizen.
Pelbagai cerita dan troll mula membanjiri dan menular di media sosial. Kebanyakan mengutuk kehadiran pelarian dan pekerja migran ini yang dipaparkan sebagai kurang ajar dan sudah melampau.
Golongan NGO dan aktivis yang bersimpati dengan mereka terus dikejam dengan bahasa kesat dan lucah. Satu lagi prakata yang sering digunakan adalah, “Jika anda suka, simpanlah mereka di rumah anda”. Penahanan Pati di Selangor Mansion juga mencetuskan satu debat sama ada langkah kerajaan menahan mereka itu betul atau salah.
Antara yang menentang pekerja migran ini boleh digolong kepada beberapa golongan. Golongan yang paling ekstrem adalah mereka yang tidak boleh menerima semua orang dari luar – baik pelarian, pekerja berdokumen dan tanpa dokumen.
Terdapat juga satu golongan yang lebih ekstrem dari posisi ini. Mereka sehingga hari ini melihat etnik Cina dan India pendatang walaupun sebahagian besar dilahirkan di Malaysia dan mempunyai kewarganegaraan. Kemudian ada pula satu pihak yang boleh menerima pekerja migran asalkan mereka sah dan berdokumen.
Kad pelarian UNHCR
Maka golongan yang paling tidak boleh diterima oleh majoriti rakyat adalah mereka yang dikenali sebagai Pati iaitu dikategorikan sebagai yang datang tanpa izin. Golongan pelarian juga kadangkala digolongkan sebagai Pati kerana mereka juga tiada dokumen sah. Walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 namun pelarian dilindungi bawah naungan UNHCR di Malaysia.
Tulisan ini akan memfokus kepada isu Pati iaitu golongan yang paling terkutuk antara semua golongan yang saya utarakan di atas. Berhujah untuk membela mereka adalah satu usaha yang sukar dan sia-sia kata kawan-kawan saya kerana mereka memiliki label-label yang lain seperti pendatang tanpa Izin, seludup masuk, penceroboh, penjenayah, haram, parasit dan lain-lain.
Statistik yang menggerunkan
Dalam satu kajian yang dibuat oleh ILO - Pertubuhan Buruh Antarabangsa - mengenai persepsi masyarakat tentang pekerja Asing di Jepun, Malaysia, Singapura dan Indonesia; didapati masyarakat Malaysia mempunyai persepsi yang amat buruk tentang pekerja asing.
Laporan tersebut menyatakan bahawa 73 peratus rakyat Malaysia berpendangan bahawa pekerja asing tidak harus diberi layanan yang sama seperti pekerja Malaysia dan perlu ada polisi diskriminasi manakala 60 peratus berpendapat jika ada isu penindasan terhadap pekerja asing, maka pihak yang patut disalahkan adalah pekerja asing itu sendiri.
Mengikut persatuan majikan dalam satu kenyataan pada 19 April 2020 terdapat lebih kurang 3.3 juta Pati berbanding dengan 2.2 juta pekerja berdokumen. Anggaran mereka adalah untuk setiap seorang pekerja berdokumen, ada 1.5 kali pekerja tanpa dokumen atau Pati. Mengikut Jabatan Perangkaan pula sejak Mei 31 2019 ada 2,059,382 pekerja berdokumen dari 13 negara yang bekerja dalam enam sektor. Namun banyak pihak lain memberikan angka Pati dalam anggaran lima juta orang.
Mengikut satu rencana yang ditulis oleh Murray Hunter berjudul Malaysia’s massive foreign worker dependency (pergantungan keterlaluan terhadap pekerja asing) yang ditulis pada November 2019, terdapat sebanyak 2.27 juta pekerja asing berdokumen bekerja dan ditambah dengan 2.5 hingga 3.37 juta pekerja asing tanpa dokumen. Jumlah tenaga buruh pekerja asing adalah antara 31 hingga 30 peratus jumlah keseluruhan guna tenaga Malaysia iaitu 15.3 juta. Kebanyakan pekerja asing termasuk Pati bekerja dalam kerja-kerja 3D – sukar, bahaya dan kotor.
Statistik ini amat mencemaskan. Ini bermakna satu pertiga pekerja Malaysia adalah pekerja asing. Yang mengeruhkan adalah jumlah Pati melebihi pekerja sah. Bagaimana ini boleh berlaku? Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan mempunyai pentadbiran dan kawalan sempadan yang jelas, bagaimanakah ini boleh berlaku? Biasanya di kebanyakan negara yang mempunyai pentadbiran yang baik maka pekerja berdokumen mestinya jauh lebih tinggi berbanding dengan pekerja tanpa dokumen.
Hanya sebuah kerajaan anarki sahaja boleh mempunyai angka seperti ini. Penguat kuasa biasa berhujah mengenai lorong-lorong tikus. Adakah lorong-lorong tikus ini wujud di sempadan atau lorong ini wujud di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigeresan di Putrajaya dan lain-lain tempat.
Covid, Masjid India dan Pati
Pada Hari Buruh tahun ini, Jabatan Imigresen bersama PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan satu operasi besar-besar dan telah menahan 586 Pati, mengikut Menteri Kanan Ismail Sabri mereka semuanya sudah disaring dan dibuat ujian tiga kali dan didapati Covid negatif. Maka mereka ditahan dan dimasukkan di depoh.
Ramai pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), NGO dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) berpendirian bahawa ini adalah langkah tidak bijak dan pusingan U kerana sebelum ini disyor bahawa semua pekerja migran termasuk Pati tidak akan ditangkap jika mereka datang untuk membuat ujian Covid.
Operasi bersama polis dan imigresen di Kuala Lumpur baru-baru ini
Dengan tindakan kerajaan ini, sudah pastinya golongan Pati yang lain dalam bilangan jutaan tidak akan datang untuk ujian atau rawatan apabila mereka mempunyai gejala-gejala penyakit covid. Tindakan mereka tidak datang bererti mereka boleh secara aktif menyebarkan virus ini dan bukan sahaja membahayakan kesihatan mereka malah akan mengakibatkan kesihatan masyarakat di luar sana terdedah kepada Covid 19.
Di Singapura yang mempunyai kawalan ketat dan tidak mempunyai masalah Pati seperti Malaysia hari ini sendiri mendapati kes Covid yang mendadak tinggi kerana tersebar di kalangan pekerja Migran. Sekarang bayangkan dengan Malaysia, yang majoriti pekerja asing berstatus Pati tidak akan datang untuk ujian dan mereka pun tidak akan percaya lagi dengan kerajaan.
Maka walaupun ramai rakyat yang mengalu-alukan tindakan kerajaan menangkap golongan Pati ini tetapi mereka gagal melihat implikasi yang lebih besar dan kemudaratan yang bakal boleh menimpa.
Terlalu banyak Pati – salah siapa?
Siapakah harus dipersalahkan apabila terlalu ramai Pati? Adakah kita salahkan Pati itu kerana mereka curi-curi masuk atau kita kena mempersalahkan penguatkuasaan, pihak imigresen dan polis yang membenarkan sempadan kita diceroboh dan dibolosi.
Atau patutkah kita salahkan pihak majikan yang ambil mereka untuk bekerja. Kita sering melihat rakyat Malaysia begitu teruja apabila melihat Pati ditahan tetapi kita jarang melihat pihak Berkuasa yang membenarkan mereka ceroboh masuk ditahan mahupun pihak majikan yang ambil mereka bekerja ditahan atau dipenjarakan?
Maka antara tiga golongan yang mempunyai kaitan langsung dengan masalah Pati iaitu agensi kerajaan, majikan dan Pati – pihak yang selalu menjadi mangsa dan selalu kita kutuk adalah golongan yang paling miskin dan paling kurang berkuasa antara tiga pihak ini.
Salah agensi dan agensi perdagangkan manusia?
Ramai orang marahkan Pati tetapi tahukah anda ramai juga yang menjadi Pati adalah golongan yang telah ditipu oleh agensi-agensi mereka atau mereka menjadi mangsa sindiket memperdagangkan manusia, Ramai juga antara Pati yang pada awalnya adalah pekerja berdokumen tetapi dokumen-dokumen mereka telah dipaksukan, ditipu dan diseleweng.
Mengikut kenyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Right to Redress, mereka mengatakan 90 peratus Pati adalah mereka yang telah ditipu padahal sebenarnya mereka masuk secara sah dengan dokumen. Ramai yang ditipu setelah sampai kesini dan yang terpedaya dari awal lagi.
Ramai diantara Pati ini sudah membayar wang yang banyak untuk masuk ke dalam negara maka mereka akan cuba sedaya upaya untuk bekerja secara haram daripada balik ke negara asal, di mana penghutang, ikan jerung dan lain-lain menanti. Mereka juga sering akan memberikan rasuah untuk mengelak diri ditahan.
Ramai dari agensi-agensi yang menipu ini mempunyai hubungan rapat dengan dengan pihak berkuasa tempatan dan ia sememangnya satu perniagaan yang lumayan dan berbaloi.
Tempat penyembunyian pendatang haram di Wang Kelian
Malaysia juga untuk dua tahun berturut-turut telah disenaraikan dibawah senarai tahap kedua (tier two) dalam senarai Jabatan Negara Amerika Syarikat. Ini adalah satu petunjuk bahawa Malaysia gagal menangani perdagangan manusia dan terlibat dalam isu pekerja paksa dan perhambaan moden.
Siapa yang sudah lupa akan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak bukit di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 2015. Laporan Suhakam merumuskan sindiket pemerdagangan manusia melakukan jenayah kemanusiaan di Malaysia dan Thailand ke atas lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya dari 2012 hingga 2015.
Salahkah majikan yang mengupah?
Majikan pun memang mengakui masalah birokrasi dan lain-lain sekatan, maka mereka juga mengambil pekerja Pati. Bagi majikan, Pati ini bagus dan kurangkan kos mereka. Mereka tak payah bayar levi, tak perlu bayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan tidak perlu bayar gaji minimum.
Pekerja ini pun tidak boleh buat aduan di Jabatan Tenaga kerja atau buat aduan polis kerana status mereka adalah haram. Ada juga kes majikan memeras semua tenaga Pati dan apabila pekerja ini mula menuntut hak yang lebih hak, maka mereka akan dibuang kerja secara tidak sah. Ada majikan yang pada masa-masa ini memberi umpan kepada polis untuk menangkap pekerja mereka yang tidak lagi perlukan.
Sekali lagi, reaksi rakyat adalah marah pada Pati tetapi tidak marah kepada majikan yang langgar undang-undang dan ambil mereka bekerja. Berapa banyak majikan yang pernah ditahan dan didakwa kerana kesalahan ini?
Perang dingin KSM dan KDN?
Untuk sekian lama ada satu perang dingin dari segi siapakah antara Kementerian Sumber Manusia(KSM) dan KDN yang patut mengurus pekerja asing di negara kita?
Ramai kumpulan termasuk majikan, kesatuan sekerja dan NGO yang merasakan bahawa pihak yang sepatutnya menguruskan hal-ehwal pekerja migran adalah KSM kerana mereka mempunyai kaitan terus dengan jumlah pekerja yang diperlukan, jumlah penggangguran dan sektor mana yang memerlukan pekerja.
Walaupun semua pihak merasakan pihak KSM yang patut kendalikan ini namun demikian KDN langsung tidak mahu membenarkan ini. Pada bulan Ogos 2018, kabinet telah membentuk satu jawatankuasa khas diketuai bekas hakim Mahkamah Rayuan, Hishamuddin Yunus untuk mencadangkan kepada kerajaan pendekatan holistik berkaitan isu pengambilan pekerja asing.
Namun walaupun jawatankuasa itu telah mengadakan sesi bertemu rakyat dan telah meneliti lebih 100 petisyen, namun laporan tersebut tidak dijadikan dokumen awam dan kemungkinan telah di OSA-kan (diletakkan bawah status sulit Akta Rahsia Rasmi).
Apakah yang dirahsiakan? Pekerja asing adalah satu perniagaan yang mega dan lumayan. Terdapat pelbagai kes rasuah termasuk kes Zahid Hamidi yang dikaitkan dengan pengambilan pekerja dari Bangladesh. Maka KDN tidak akan sekali-kali melepaskan lubuk emas ini kepada KSM.
Sasaran kebencian yang tersasar
Hari ini rakyat Malaysia benci dengan Pati. Keadaan krisis ekonomi dan Covid menyebabkan kemarahan itu sudah kemuncak. Satu penyelesaian yang munasabah dan berkekalan nampaknya tidak kelihatan. Ini adalah kerana kita hanya menggunakan hujah dan sentimen emosi untuk menghalau Pati dan pada masa yang sama tidak mahu meneliti isu-isu struktural yang lebih serius.
Isu monopoli, isu rasuah dan salah guna kuasa berleluasa. Namun rakyat Malaysia dipaksa oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk memesong pandangan kita kepada Pati sebagai pendatang haram padahal isu-isu yang lebih besar seperti isu rasuah dipinggirkan dan diremehkan.
PSM dan NGO hak migran sudah lama membuat persidangan meja bulat. Sudah lama memberikan pandangan dan penyelesaian yang menyeluruh. Pandangan ini malah disokong oleh pihak kesatuan sekerja, persatuan majikan, para akademik dan pihak berkepentingan yang lain namun tidak ada kewibawaan politik untuk menyelesaikan isu ini.
Sehingga hari ini tidak ada satu polisi dan dasar kebangsaan yang menyeluruh mengenai keperluan guna tenaga dan undang-undang yang selari dengannya. Regulasi pendatang asing, Pati sering ditukar standard operasi piawai (SOP) sehingga ia menjadi lawak jenaka kepada kebanyakan pihak yang berurusan dengan jabatan imigresen.
Lain kali bila kita bersorak apabila Pati ditahan, jangan lupa, kita tidak menyelesaikan masalah pokok. Kita hanya bermain-main dengan ranting-ranting. Esok lusa mereka kembali lagi.
S ARUTCHELVAN ialah timbalan pengerusi PSM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan