SITI NUR ZAWANI MISCON
Armada Bersatu Malaysia berpendirian untuk kekal bersama Pakatan Harapan (PH) dan tidak akan bekerjasama dengan Umno.
Dalam satu kenyataanya hari ini, Armada memaklumkan, keputusan dicapai berdasarkan undian yang dibuat semasa perjumpaan dan dipersetujui lebih 2/3 ahli mesyuarat dan selebihnya berkecuali tanpa ada yang menolak.
“Armada menyokong penuh pendirian Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bekerjasama dengan Umno.
“Armada berpendirian untuk mengembalikan mandat rakyat sebagaimana yang diberi pada Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lepas dan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan,” katanya.
Keputusan tersebut diumumkan selepas satu mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan isu masa hadapan dan kelangsungan parti yang dihadiri Exco Armada, ketua-ketua Armada Negeri dan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir.
Armada berkata, Bersatu telah pun bersama Pakatan Harapan dari seawal perjuangan menyelamatkan negara.
Terdahulu, AMANAH menyambut baik tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika mahu kembali bersama PH.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, pelbagai krisis dialami negara pada masa ini memerlukan keteguhan gabungan PH serta berdepan dengan Perikatan Nasional (PN).
“Keutuhan gabungan bersama Pakatan Harapan merupakan tunjang dan kekuatan dalam menghadapi segala krisis yang melanda negara dan pada masa yang sama berhadapan kerajaan pintu belakang PN,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan