Tian Chua bakal tubuh gerakan baru

FMT Reporter
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR Tian Chua bakal menubuhkan satu gerakan baru dalam masa terdekat.

Beliau berkata penubuhan gerakan tersebut bertujuan mengatasi masalah perpaduan sosial serta ekonomi yang semakin merudum akibat Covid-19.

Katanya, gerakan itu juga bertujuan meningkatkan sokongan terhadap perkhidmatan sosial masyarakat dengan visi mewujudkan masyarakat dengan pembahagian sumber kekayaan yang adil.

Ia juga, katanya, akan membentuk pembangunan lestari dan bebas daripada perbuatan yang boleh merosakkan iklim dan persekitaran.

“Kami tidak mampu duduk secara pasif dan mengharapkan peningkatan akan berlaku dengan lancar dan automatik. Selain bergantung dan meminta tindakan pemerintah yang diperlukan, kita juga harus melangkah ke hadapan.

“Sebagai warga negara yang prihatin dan mampu, sekarang adalah masanya untuk menunjukkan komitmen bagi memperkukuh perpaduan bangsa dan membela rakyat yang menderita. Ini juga masanya untuk mengatur tenaga masyarakat dengan semangat kesukarelaan,” katanya di Facebook.

Katanya, Malaysia juga menghadapi isu perbezaan pendapatan yang tertinggi di Asia dan perlu diambil serius dalam mencari penyelesaian.

“Golongan berpendapatan rendah dan masyarakat terpinggir adalah yang paling teruk terjejas susulan keadaan ekonomi yang semakin buruk,” katanya.

Beliau berkata gerakan itu juga menerima semua keahlian tanpa mengira perbezaan jantina, etnik agama dan kepartian.

Katanya, gerakan itu akan dilancarkan secara rasmi selepas hari raya nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan