'Anwar jumpa Muhyiddin, Hamzah bawa agenda reformasi'

Ng Xiang Yi

Pimpinan pusat dan anggota parlimen PKR bersetuju untuk memberi ruang dan kebebasan yang secukupnya kepada presiden parti, Anwar Ibrahim untuk berunding dengan sesiapa sahaja dalam usaha mengembalikan kerajaan Pakatan Harapan.

Menurut Ketua Whip PKR, Johari Abdul, keputusan ini dibuat setelah PKR bertekad untuk menolak Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekali lagi.

“Kita putuskan untuk bagi ruang, bincanglah dengan sesiapapun untuk dia (Anwar) bawa balik kerajaan PH termasuk Mahathir,” katanya apabila dihubungi oleh Malaysiakini.

Johari yang juga ahli parlimen Sungai Petani turut mengesahkan bahawa Anwar sebelum ini telah berjumpa dengan beberapa pemimpin di "blok sebelah”.

Kata Johari, Anwar memaklumkan perkara itu pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota parlimen PKR yang dibuat secara dalam talian pagi ini.

Antara nama pemimpin yang disebut termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan pemimpin kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun, kata Johari, Anwar tidak mengulas lanjut hasil perbincangan dalam mesyuarat pagi ini.

“Dia jumpa Muhyiddin dan Hamzah. Dia jumpa banyak orang, kecuali (bekas perdana menteri) Najib Razak saja dia tak jumpa.

"Kami masih bawa agenda reformasi, perjumpaan tidak semestinya setuju dengan dia orang. Juga tidak bermaksud mereka setuju dengan kita.

"Tapi kita mesti jual agenda reformasi,” kata pengerusi PKR Kedah itu.

Selain itu, seorang ahli parlimen PKR yang tidak ingin didedahkan namanya turut mengesahkan Anwar memang menyebut beliau pernah berjumpa dengan Muhyiddin dan Hamzah.

Bagaimanapun, sumber PKR tersebut berkata, hasil dan perincian perjumpaan itu tidak diketahui.

“Dia sebut nama-nama ini kerana dia tahu Mahathir ada jumpa dengan pemimpin blok yang lain juga seperti (bekas timbalan presiden PKR) Azmin Ali dan Presiden PAS Hadi Awang.

“Dia ada mengeluh sikit bahawa kenapa perbuatannya dipertikai oleh pihak lain tetapi tiada pulak orang yang pertikai Mahathir,” kata sumber tersebut.

Cari kemungkinan lain

Seorang lagi pemimpin PKR beranggapan bahawa perjumpaan dengan pemimpin yang berbeza adalah satu kebiasaan untuk melobi lebih banyak sokongan ahli parlimen yang lain.

“Sebab kita sudah menolak Mahathir sebagai calon perdana menteri, maka kita perlu mencari kemungkinan yang lain untuk menambah sokongan.

"Anwar kata, cuma seorang saja dia tak jumpa, iaitu Najib.

“Ini memang perkara biasa. Cuma setahu kami, perjumpaan di Sarawak hari itu macam tidak berhasil,” tambahnya.

Sebelum ini PKR dalam satu kenyataan menyatakan pendirian mereka menolak Mahathir sebagai calon perdana menteri PH Plus.

PH Plus merujuk gabungan antara PKR, DAP, Amanah, Warisan serta Mahathir dan bekas ahli parlimen Bersatu yang menyokong bekas perdana menteri itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PKR, pemimpin pusat dan anggota parlimen PKR menolak Mahathir sebagai calon perdana menteri sekali lagi dan kekal dengan pendirian agar presiden mereka menjadi calon perdana menteri.

Bagaimanapun, parti itu terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Mahathir “demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya”.

Namun, DAP dan Amanah mendedahkan pilihan pertama mereka untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tidak berjaya mendapat sokongan diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Justeru, ia menyebabkan pilihan kedua, iaitu Dr Mahahir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya, dikemukakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan