Bawang besar Holland penghilang kembung perut

ZULKARNAIN LUKMAN

Hari Khamis lepas selepas selesai urusan bank waktu tengah hari, singgah makan sushi di Nippon Sushi, sebelah malamnya makan sate Kajang.

Besoknya hari Jumaat rasa tak sedap badan. Bila sukat suhu badan dah mencecah 37.1 darjah Celcius. Sebelah petang suhu 37.5. Walaupun bila makan panadol dan berehat akhirnya suhu turun tapi kembung perut tak hilang. Saya syak mungkin kerana makan sushi jadi punca. Bukan kerana Nippon sushi tapi mungkin masalah badan sendiri.

Pelbagai petua orang lama dicuba seperti minum teh dan air halia. Halia pulak guna halia yang paling mahal dan bermutu iaitu halia Bentong. Minum madu pun tak mahu hilang. Campur lagi dengan cuka epal pun tak mahu hilang.

Nak kata perut kosong pun tidak mungkin kerana makan nasi beriani sepinggan pun tak hilang kembung. Buang air besar pun 4-5 kali. Yang banyak keluar adalah angin tapi tetap tak hilang.

Solat pun tak selesa khasnya bila sujud. Bila minum susu keadaan jadi lebih teruk. Tapi makan keju tidak pula menjadi lebih teruk.

Mengikut ilmu akupunktur dan perubatan Cina kuno, masalah ini kerana berlaku pertambahan zat Yang dalam perut. Dalam konsep Yin Yang perlu ada keseimbangan dalam badan sama seperti keseimbangan dalam alam semesta.

Jika lebih tenaga Yang maka akan berlaku keradangan dan cara mengubatinya adalah dengan menambahkan tenaga Yin. Selalunya jika penyakit itu berlaku secara tiba-tiba ianya bersifat acute yakni Yang. Bila dibuat ujian memang titik akupunktur bahagian abdomen dan navel ada masalah. Kembar bagi abdomen adalah spleen.

Selain itu doa penghilang sakit بسمالله، اعوز بالله وقدرته من شر ما اجد واحاذر juga turut dibaca dan diruqyah di perut.

Malam tadi selepas Isyak, akhirnya dapat ilham untuk makan bawang besar. Maka, makan bawang besar holland sesuku labu bersama sandwich.

Alhamdulilah, selepas 10 minit makan, perut dah mula rasa lapang. Bangun Subuh pagi tadi segala simptom kembung perut telah tiada.

Sebenarnya petua menggunakan bawang besar untuk hilangkan angin dalam perut agak aneh sebab bawang diketahui penyebab kepada angin dalam perut.

Jika kita Google memang bawang adalah antara makanan yang patut dielakkan kata pakar nutrisi. Namun, sistem perubatan Cina kuno ini kadang-kala tak terjangkau dek akal manusia sebab mereka banyak berdasarkan kepada teori Yin Yang dan 5 elements therapy.

Berdasarkan teori ini boleh jadi dalam badan saya itu elemen Yin sangat kurang sehingga menyebabkan kesejukan dan meningkatkan elemen Yang secara mendadak sehingga perut jadi kembung.

Jadi memakan bawang yang mempunyai elemen Yang itu telah menguatkan semula elemen Yin. Justeru berlaku keseimbangan semula Yin Yang dalam badan sehingga menghilangkan kembung perut.

Syukur. Semoga petua ini dapat melegakan orang lain yang mengalami gejala yang sama. Namun, sebagai peringatan sistem tubuh manusia berbeza-beza. Mungkin tubuh saya sesuai dengan bawang besar ini.

Orang lain mungkin sesuai dengan makanan dan herba lain seperti halba, kulit kayu manis, kunyit, lemon, daun limau purut, serai, daun pudina, daun selasih. Apa apa pun banyakkan doa dan mohon Allah taala berikan petunjuk untuk selesaikan masalah kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan