A Kadir Jasin
Ceritanya mudah saja. Pemimpin yang mengepalai gerakan tidak demokratik menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat jelata, tidak akan mampu bersikap demokratik terhadap parti mereka sendiri.
Itulah yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh sebagian besar kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memihak kepada Muhyiddin Mohd Yassin.
Mereka telah merancang kejatuhan kerajaan yang dipilih oleh rakyat jelata dengan menarik Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 23 Februari lalu.
Untuk mempertahankan rampasan kuasa mereka itu, mereka terpaksa bersikap tegas dan keras ke atas pemimpin Bersatu yang tidak sebulu dengan mereka.
Yang telah, sedang dan akan mereka hukum dengan sewenang-wenangnya adalah ahli Bersatu. Manakala yang ditimang dan ditatang adalah ahli Umno dan PAS.
Umno dan PAS diutamakan kerana menyertai mereka dalam kerajaan pintu belakang atau, mengikut takrifan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, kerajaan tebuk atap.
Justeru itu, tidak hairanlah kalau Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan empat orang lagi pempimpin kanan Bersatu telah disingkirkan pada 28 Mei lalu hanya menerusi surat yang ditandatangani oleh Muhammad Suhaimi Yahya.
Bagi menghalalkan tindakan tidak berpekerti itu, sidang Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) telah dipanggil semalam untuk mengesahkan pemecatan Dr Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.
Turut dikenakan tindakan adalah Marzuki Yahaya yang dipecat daripada jawatan Ketua Badan Perhubungan Pulau Pinang dan Akramsyah Sanusi yang digugurkan daripada MPT. Tetapi Akramsyah berkata tindakan itu ditarik balik semalam.
Adalah tidak mustahil ramai lagi akan dikenakan tindakan kerana menentang hegemoni Muhyiddin dan feksyennya dalam Bersatu.
Muhyiddin juga boleh menggunakan kuasa eksekutif beliau bagi mempengaruhi Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk memberikan “cop getah” kepada apa saja tindakan Bersatu.
Apatah lagi Menteri yang bertanggungjawab ke atas ROS, Datuk Hamzah Zainuddin, adalah penyokong kuat Muhyiddin dan antara arkitek utama Perikatan Nasional.
Penyokong asal tak setuju pecat Dr M
Tatapi kuasa eksekutif sahaja tidak akan membantu menyelesaikan kekusutan yang sedang berlaku di dalam Bersatu.
Rasanya majoriti ahli dan penyokong asal Bersatu tidak menyetujui pemecatan Dr Mahathir. Sebaliknya mereka terus mengiktiraf beliau sebagai pengerusi parti.
Di sini patut diulang sebut bahawa Dr Mahathir telah pun dipilih semula sebagai pengerusi tanpa dicabar sementara di pihak lain pula, Muhyiddin yang mengaku memangku jawatan pengerusi sedang dicabar oleh Mukhriz untuk jawatan presiden.
Cabaran oleh Mukhriz ini adalah antara sebab Muhyiddin dan konco-konconya dalam MPT mahu feksyen yang menyokong Dr Mahathir ditendang keluar.
Jadi, adalah tidak mengejutkan kalau umum berkata bahawa buat masa ini Bersatu berpecah dua - satu menyokong Dr Mahathir dan satu lagi bersama Muhyiddin.
Tetapi saya rasa kita jangan lupa kemungkinan wujud dua “sub-faction” yang tidak semestinya menyokong salah seorang daripada dua watak ini.
Besar kemungkinan Hamzah dan konco-konconya yang melompat masuk Bersatu daripada Umno selepas PRU ke-14 lalu dan Mohamed Azmin Ali dengan geng PKRnya sedang bermain “watching game” – tunggu dan tengok.
Untuk mereka terus relevan dalam Bersatu, mereka wajib bersama “the winning side” – pihak yang menang – dan buat masa ini tidak semestinya feksyen Muhyiddin.
Muhyiddin beri talian hayat pada Umno
Permainan ini sedang diperhatikan oleh Umno seperti burung hering bercangkung di atas pokok kelapa menunggu lembu nazak mati.
Rasa saya inilah faktor yang menjadi pemangkin kepada deklarasi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pada 3 Jun lalu bahawa “kami sudah siapa siaga untuk PRU15”.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan bossnya, Najib Abdul Razak, di rumah beliau pada hari tersebut.
Umno mempunyi kepentingan langsung di dalam apa yang sedang berlaku dengan Bersatu. Ia akan menyokong Bersatu selagi Bersatu boleh memberikannya kebaikan – termasuk jawatan Menteri dan lantikan GLC.
Kita kena ingat, Muhyiddin telah memberikan Umno (dan PAS) talian hayat setelah kalah PRU 9 Mei 2018. Daripada pembangkang, Umno balik menjadi kerajaan.
Bagi ahli dan penyokong Umno ini adalah rahmat. Mereka tidak peduli tentang prinsip, maruah dan perjuangan. Bangsa, agama dan negara hanyalah tebu di pinggir bibir. Yang mereka fikirkan adalah habuan. Jadi dengan ihsan Muhyiddin, Umno kembali relevan.
Najib dan Ahmad Zahid memerlukan pihak yang berkuasa memandangkan nasib mereka umpama telur dihujung tanduk di dalam kes-kes mahkamah yang sedang mereka hadapi. Buat masa ini, Muhyiddin adalah pilihan lebih baik bagi mereka berdua.
Tetapi seandainya mereka nampak bahawa sampan Muhyiddin akan tersadai di tengah sungai atau karam terus, mereka akan terjun menyelamatkan diri.
Jika mereka terjun dan sebuah kerajaan baru tidak dapat dibentuk, maka besar kemungkinan Dewan Rakyat terpaksa dibubarkan dan PRU diadakan seperti yang diuar-uarkan oleh Ahmad Zahid.
Akhir kalam, izinkan saya menyatakan tanpa keraguan bahawa di dalam semua ini, saya adalah di sebelah MPT Bersatu yang, pada mesyuarat 23 Februari lalu, tidak menyokong penarikan diri daripada PH.
Saya perpegang kepada rayuan Dr Mahathir agar beliau tidak dipaksa mengorbankan prinsip dan janji beliau kepada PH dan persetujuan MPT memberi masa kepada beliau untuk berfikir dan bertindak. Itu prinsip saya.
Wallahuaklam. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan