MALAYSIA DATELINE
Penganalisis politik Ahmad Lutfi Othman berpendapat peluang perlu diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan kembali kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau menolak tanggapan bahawa bekas Perdana Menteri itu juga bersikap khianat sehingga tumbangnya kerajaan PH pada 24 Februari lalu walaupun mengakui tindakan Mahathir meletakkan jawatan sebagai satu kesilapan.
“Saya tidak dapat terima dakwaan Mahathir sama-sama khianat. Bagi saya, strategi Mahathir letak jawatan itu silap.
“Tapi beliau pun tertekan apabila hilang sokongan parti sendiri (Bersatu) dan ‘budak’ kepercayaannya, Azmin Ali.
“Buktinya, Mahathir tolak kompromi dengan Umno kleptokrasi dan tertendang keluar. Rekodnya menolak Muhyiddin termasuk tidak mahu berjumpanya dan dipecat Bersatu bukti Tun bukan sebahagian pengkhianatan,” jelasnya kepada Malaysia Dateline.
Dalam realiti politik demokrasi juga, tegas pengamal media itu, isu paling kritikal sekarang adalah jumlah majoriti yang stabil.
“Jika Mahathir boleh sumbangkan ‘cukup bilang’ maka dia lebih sesuai jadi PM. Jadi, keutamaan adalah meraih cukup sokongan di kalangan ahli Parlimen bukannya rakyat bagi segera membentuk kerajaan.
“Bagaimana caranya untuk mendapatkan cukup bilang itu? Ini isu terpenting dan paling kritikal waktu sekarang. Perbincangan lain nanti dulu,” ujar bekas kolumnis akhbar Mingguan Amanah itu.
Untuk rekod, pimpinan tertinggi PH pada 9 Jun lalu akan memuktamadkan keputusan mengenai usaha mengambil alih kerajaan dalam tempoh seminggu.
Menurut kenyataan bersama kelima-lima pemimpin parti komponen PH, perbincangan berkenaan hal tersebut pada ketika itu berjalan lancar dan menampakkan “kemajuan yang amat positif” tanpa sebarang perbezaan pendapat.
Pada 9 Jun lalu, Mahathir hadir ke ibu pejabat PKR di Merchant Square, di Petaling Jaya bagi mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mesyuarat selama kira-kira tiga jam bermula jam 3 petang itu dihadiri Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Kata pemutus
Mengulas lanjut penolakan sebahagian penyokong PH terhadap pemilihan Mahathir untuk mendapatkan kembali kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN), Ahmad Lutfi berpendapat isunya sekarang bukan soal populariti di kalangan pengundi.
“Kata pemutus adalah di kalangan ahli-ahli Parlimen bukan rakyat. Kita kena terima hakikat percaturan ini,” kata penyusun buku ‘Mengapa Mahathir?’ yang terbit menjelang PRU14 itu.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Harakah tersebut juga berpendapat walaupun ahli Parlimen Bersatu tidak ramai tetapi mereka mudah menyokong kerajaan baharu jika Mahathir adalah Perdana Menteri.
“Saya masih berpandangan, kuasa mesti direbut sekarang, bukan tunggu PRU15. PH sebelum ini pun mengaku masih belum cukup bilang untuk ambil alih kuasa.
“Bagi pandangan peribadi saya, berilah pada Tun itu berundur secara teratur dulu. Februari lepas dia ‘ditendang’ keluar tanpa perancangan.
“Sebabnya, sekarang bukan isu siapa boleh jadi Perdana Menteri terbaik, tapi siapa yang boleh dapat nombor yang cukup.
“Tun punca PH jatuh, kini giliran dan tanggungjawabnya dapatkan balik kerajaan,” tambah Ahmad Lutfi lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan